Malaysia Dateline

PRN Melaka: 11,557 undi awal hari ini, DUN Sungai Udang paling ramai pengundi

Seramai 11,557 pengundi hari ini akan mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, di 31 pusat pengundian.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah pengundi awal itu terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis dan membabitkan 24 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.

“Proses pengundian awal akan disaksikan ejen calon yang bertanding, di samping SPR akan menyiarkan proses (pengundian) ini secara ‘live streaming’ menerusi Facebook SPR,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dengan kertas undi terbabit hanya akan dikira Sabtu, 20 November ini, bermula 4 petang.

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen calon masing-masing,” katanya.

Tujuh lokasi mengundi bagi tentera dan pasangan akan dijalankan di Bilik Gerakan 96 DPP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Bilik Pusat Latih Palapes Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di DUN Durian Tunggal serta Dewan Sri Beruang Kem askar wataniah membabitkan DUN Bukit Katil.

Hanya empat DUN tidak terbabit dalam proses pengundian awal iaitu DUN Tanjung Bidara, Pengkalan Batu, Duyong dan Serkam.

DUN Sungai Udang merekodkan jumlah pusat pengundian awal terbanyak iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak I, SK Kem Terendak II dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kem Terendak serta Dewan Borhan.

Seramai 9,574 pengundi awal termasuk sembilan anggota polis dan pasangan direkodkan di DUN Sungai Udang.

N.11 Sungai Udang yang mempunyai 22,793 pemilih menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Hasmorni Tamby (PH-PKR), Dr Mohd Aleef Yusof (PN-Bersatu), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (BN-Umno) dan Mohd Zahar Hashim(Bebas).

Kerusi DUN dengan pengundi tentera paling ramai itu disandang Datuk Seri Idris Haron yang menang PRU-14 pada 2018 atas tiket BN dengan majoriti 2,229 undi.

Namun, pada PRN Melaka kali ini, Idris menjadi calon bertanding di DUN Asahan atas tiket PH dalam pertandingan enam penjuru.