Malaysia Dateline

PRN Melaka adalah pilihan raya yang dipaksakan, kata Mat Sabu

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada 20 November nanti adalah pilihan raya yang dipaksakan oleh kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, PRN yang tetap diteruskan di negeri itu menunjukkan Ismail sebagai pemimpin yang lemah dan teruk tatkala perjanjian persefahaman sedang berlangsung antara pemimpin Pakatan Harapan dan kerajaan Persekutuan.

“Sewajibnya tidak perlu pilihan raya kerana empat penyokong Perikatan Nasional – Barisan Nasional telah berpaling tadah dan menyokong PH.

“Sepatutnya pihak PH lah yang ada majoriti. Tapi pemerintahan Ismail begitu lemah dan beliau tunjuk kelemahan ini ketika persefahaman antara pembangkang dan perdana menteri sedang berjalan.

“Kita tak tahu Malaysia nak pergi ke arah mana. Pilihan raya dipaksakan kepada rakyat. Bagi saya ini bukan soal musim Covid-19 atau tak, pilihan raya masih boleh diadakan.

“Soalnya Ismail Sabri ini kita tidak tahu dia ikut formula mana. Inilah perdana menteri paling bankrap dan paling teruk dalam sejarah wujudnya PM di Malaysia. Kamu paksakan pilihan raya yang sepatutnya tidak perlu diadakan di Melaka,” tegasnya dalam satu video yang disiarkan di Facebooknya tengahari tadi.

Pada masa sama, Mohamad turut membangkitkan semula situasi ketika Adly Zahari kehilangan sokongan dan gagal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tiada lagi majoriti.

Apa yang berlaku ketika ini juga sama situasinya ketika Adly dijatuhkan dan tidak seharusnya DUN dibubarkan kerana Datuk Seri Sulaiman tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.