Malaysia Dateline

PRN Melaka: Antara Timah dan Siakap

Dua isu kecoh yang berlaku iaitu tidak berapa dahulu wiski Timah dan sekarang harga seekor ikan Siakap sehingga menjangkau lebih RM1,000 di Langkawi yang bagi saya ia mempunyai perlambangan tersendiri kepada politik dan dapat dikaitkan dengan Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN).

Isu wiski Timah bukan sahaja mengenai arak yang dikaitkan dengan industri bijih timah dan wajah Kapten Speedy yang melambang kuasa penjajah British yang menjajahi Perak namum ia juga melambangkan kemabukan kuasa dalam kalangan ahli politik.

Sejak kemenangan PH pada pilihan raya lepas, pihak yang kalah terutamanya Umno masih tidak boleh menerima kekalahan tersebut, suatu ketewasan yang tragis setelah lebih kurang 60 tahun berkuasa. Bagaimana UMNO dan Barisan Nasional hendak terima hakikat bahawa rakyat telah tidak mengundi mereka.

Bertambah melankolik lagi apabila kalangan bekas ahli politik Umno menubuhkan Bersatu dan terdapat ahli politik Umno melompat ke Bersatu.

Maka gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu telah menubuhkan Pakatan Harapan yang hanya dapat bertahan selama 22 bulan sahaja apabila terdapat pengkhianatan yang membawa kepada Langkah Sheraton.

Kemabukan kuasa yang bermula sejak Langkah Sheraton.dengan kecelaruan memuncak menyebabkan berlaku kerancuan dan kekalutan apabila sebilangan ahli Parlimen PKR keluar parti di mana gabungan Bersatu, PAS dan UMNO dan kalangan MP yang bebas telah menubuhkan Perikatan Nasional (PN).

Kekalutan atau chaos ini membawa kepada perubahan kerusi dan beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di Perak, Johor, Sabah Melaka dan akan datang di Sarawak.

Mabuk kuasa ini amat bermaharajalela sekarang dan mereka lebih berbahaya daripada mabuk wiski Timah kerana kesan kemabukan ini berpotensi menjahanamkan negara dan ia membawa kepada ketidakstabilan dan ketegangan dalam pentadbiran.

Sebenarnya rakyat pada ketika ini amat memerlukan wakil rakyat yang ambil berat dan peka kepada penderitaan mereka dan bukannya wakil politik yang mabuk dan ketagih mengekalkan kedudukan jawatan dan kuasa di kerusi empuk pejabat mereka.

Tampaknya Malaysia bukan sahaja dihebohkan oleh isu wiski Timah tetapi ‘kemabukan, kegilaan serta kerakusan kuasa.

Tidak keterlaluan jika dikatakan pergelutan kuasa adalah segala galanya sekarang dan kepentingan rakyat hendak dimasukkan bersama ke dalam gelora botol wiski Timah yang lebih dahsyat daripada lambungan mabuk meminum wiski.

Ternyata jika bertanyakan rakyat, ternyata mereka telah mual dan nak termuntah hijau dengan tingkah laku ahli politik yang gila kuasa bergayut serta bergantung kepada kerusi empok pemerintahan serta berebut kedudukan untuk kepentingan peribadi dengan mengenepikan kepentingan rakyat.

Bagi mereka kelangsungan politik adalah segala galanya dan keselamatan rakyat rela dikorbankan demi hayat politik di dalam kerajaan yang telah diperoleh melalui rampasan politik pintu belakang dan tebuk atap.
Kini rakyat harus keluar dalam situasi ancaman varian baharu untuk mengundi.

Perlambangan kedua ialah nafsu makan sehingga sanggup membayar harga yang tinggi untuk seekor ikan Siakap yang didakwa pelanggan terpaksa membayar RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram.

Bagi saya, isu ikan siakap berkaitan dengan nafsu dalam politik juga. Ia amat berkaitan konsumerisme politik. Ia adalah perputaran hasrat,,keinginan atau nafsu yang tanpa henti dan tidak bertepi. Inilah yang berlaku sejak Langkah Sheraton. Dalam PRN Melaka kerajaan Keluarga Malaysia di peringkat pusat telah tidak bernaung di bawah Keluarga Besar itu tetapi membentuk keluarga sendiri-sendiri.

Inilah yang terjadi di PRN Melaka apabila komponen BN dan PN akan berentap antara satu sama lain di semua kerusi.

BN mengumumkan mereka akan bertanding di semua 28 kerusi dengan pecahan Umno bertanding 20 kerusi sementara MCA tujuh (7) dan MIC satu (1). PN mengumumkan mereka meletakkan calon di semua 28 kerusi dengan pecahan Bersatu bertanding 15 kerusi sementara Pas enam (6) kerusi dan Gerakan tujuh (7) kerusi. Adakah pepecahan ini merupakan strategi kemabukan dan nafsu kuasa mengelakkan PH menang di kerusi yang ditandingi mereka?

Dunia konsumerisme politik menjadi sebuah ruang di mana ahli politik disusun kehidupan politiknya sehingga terjebak dan tiada pillihan lain harus mengikuti arus keinginan dan hasrat tanpa henti. Ia seolah-olah bergerak umpamanya mesin digital mengendalikan nafsu kepenggunaan.

Politik mengikut atau tunduk kepada hawa nafsu akan menginginkan semua yang terlarang kalau boleh sanggup melanggar SOP bagi menghindari virus seperti yang berlaku di Sabah.

Adakah di sebalik perlambanganan Timah dan siakap pengundi akan mementingkan moral dan nilai sebagai ukuran dalam mengundi seseorang calon tanpa memperdulikan parti atau gabungan yang diwakili?

Bagi saya mata penilaian pengundi di Melaka sekarang harus ditumpukan nilai-nilai murni dan akhlak baik supaya mereka yang menang nanti menjalankan tanggungjawab dan amanah bebas rasuah, jaga kepentingan diri dan kelompok Kleptoktasi, dan tidak membazir wang rakyat. Usah undi calon kitar semula yang tidak prihatin kepada rakyat.

Ini kerana yang kita mahukan ialah instituisi demokrasi yang bebas daripada pencemaran dan kekotoran kemabukan dan nafsu kuasa.

Setiap tahun kita meraikan maulidur Rasul tetapi berapa ramaikah ahli parimen atau ahli dewan undangan negeri yang peribadinya mencontohi Rasululllah saw. Perkara ini harus menjadi penilaian pengundi. Bagi ahli politik bukan Islam yang menjadi calon penilaian rakyat tentunya juga terhadap nilai mulia dan baik harus juga diukur.

Jadikan isu wiksi Timah dan harga ikan siakap sebagai perlambangan berguna bagi pembaca yang mengundi di PRN Melaka nanti!

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)