Malaysia Dateline

PRN Melaka: Bersatu, Pas langgar Umno

Bersatu, Pas dan Gerakan dilihat akan melanggar Umno pada Pilihan Raya Negeri Melaka bulan depan dengan menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat semalam oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat khas, yang diadakan bagi membincangkan perkara berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas yang dihadiri oleh semua parti komponen – Bersatu, Pas, Star Sabah, SAPP dan Gerakan.

“Mesyuarat khas itu secara khusus diadakan bagi membincangkan hal-hal berkaitan pilihan raya negeri Melaka.

“Bersatu, Pas dan Gerakan sepakat menawarkan calon dalam pilihan raya dewan undangan negeri Melaka dan menggunakan satu lambang iaitu lambang PN,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Mahiaddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, rundingan kerusi-kerusi yang akan PN tandingi akan dimuktamadkan oleh jawatankuasa rundingan kerusi PN.

Majlis Tertinggi PN juga, jelasnya lagi, memutuskan semua parti komponen untuk menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.

Untuk rekod, pendaftaran PN diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 7 Ogos lalu.