Malaysia Dateline

PRN Melaka: BN bincang calon esok

Kurang tiga minggu sebelum hari penamaan calon pada 8 November, Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan awal mengenai calon untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perbincangan dengan Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi esok dijangka akan dihadiri semua ketua parti komponen BN termasuk kepemimpinan Umno bahagian.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata perjumpaan itu akan turut membincangkan strategi dan gerak kerja jentera parti untuk berdepan PRN Melaka pada 20 November depan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri memberitahu perkara berkaitan kerjasama politik dengan mana-mana parti tidak akan dibincangkan.

“Sebaliknya, ia (kerjasama politik dengan parti lain) akan diputuskan oleh pucuk kepemimpinan parti, tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Pulau hari ini.

Zahid dijadual mengadakan pertemuan dengan semua kepemimpinan BN sempena pelancaran jentera BN peringkat negeri di Kampung Pulau, petang esok.

SPR menetapkan 20 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, manakala tarikh mengundi awal pada 16 November.

PRN Melaka dianggarkan menelan belanja sebanyak RM46 juta dengan menyaksikan seramai 495,196 pemilih bakal membuang undi.