Malaysia Dateline

PRN Melaka: BN tidak mungkin bertanding secara bersendirian, kata Shahidan

Ketua Umno Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan BN tidak mungkin bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Tidak mungkin hendak (bertanding) pergi solo. Tidak mungkin. 13 DUN yang menang harus pertahankan melalui kerjasama. DUN yang baru nak kita tawan, buat kerja,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu kemudiannya dilihat mengundang kecaman penyokong Umno yang tidak bersetuju dengan pendiriannya.

Dalam satu hantaran lain, Shahidan berpendapat penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) oleh Pas pada PRN tidak akan menyebabkan pertembungan tiga penjuru.

Sebaliknya, Menteri Wilayah Persekutuan tersebut berkata, perkembangan itu membawa maksud Barisan Nasional (BN) dan PN akan bersama untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH).

Katanya, di pihak BN adalah penting untuk parti itu mempertahankan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang, di samping menawan beberapa kerusi lain melalui rundingan jiwa besar.

“Pas menggunakan lambang parti PN. Ini bermakna BN, PN akan bersama menghadapi PH.

“Bagi BN kita kena pertahankan 13 kerusi yang disandang dan bersedia tawan semula lima, empat atau tiga DUN. Runding dengan berjiwa besar,” kata Shahidan lagi.