Malaysia Dateline

PRN Melaka bukan kehendak PH tapi PN, BN yang gilakan kuasa

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bukan kemahuan Pakatan Harapan (PH).

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sebaliknya PRN Melaka adalah kehendak Perikatan Nasional (PN) dan BN yang tidak mahu melihat PH menerajui kembali kerajaan negeri.

“PRN Melaka bukan kehendak kami. PRN Melaka bukan kehendak AMANAH, DAP atau PKR.

“Kami telah menuntut supaya TYT menentukan sama ada, ada atau tidak pihak yang baru mendapat majoriti sokongan ADUN di Melaka.

“Ianya merupakan tindakan dan tuntutan daripada BN dan PN kerana mereka tidak mahu PH kembali menjadi sebagai kerajaan di negeri Melaka,” jelasnya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, keadaan yang sama juga dihadapi di negeri-negeri lain bahkan di peringkat nasional sekalipun.

“Apabila melibatkan persoalan menjatuhkan kerajaan PH sama ada di peringkat nasional dan di Johor, Melaka dan Perak sebelum ini, mereka (PN dan BN) menggunakan pendekatan berbeza.

“Pendekatan yang lebih betul dan selamat iaitu menentukan sama ada, ada atau tidak pihak yang mempunyai majoriti daripada ahli-ahli dewan.

“Namun, apabila kerajaan mereka yang dijatuhkan, mereka menggunakan pendekatan yang lain iaitu membubarkan DUN.

“Ini menunjukkan bahawa mereka mengambil perkiraan politik sebagai keutamaan. Mereka hanya gilakan kuasa,” tegas Khalid lagi.