PRN Melaka: Buktikan konsep politik ‘sepakat’ PH lebih menarik dari BN, PN

Oleh KIM SYAZIE

Banyak analisa tentang kekalahan Pakatan Harapan di Melaka tetapi tidak ada siapa yang berani membuat rumusan PH tidak ada masa depan.

Ini adalah kerana PH membawa idea politik yang segar dan keberadaannya adalah gambaran kepada aspirasi dan citra politik masa depan yang sangat didambakan negara.

Kekalahan PH di Melaka tidak boleh dibuat andaian mudah dengan meletakkan alasan kekalahan kepada masalah individu.

Perlu ada keadilan dalam membuat rumusan seperti perlu merujuk juga kepada faktor keluar mengundi rendah, penerimaan gagasan idea baru politik, SOP berkempen dan kelebihan media perdana yang berpihak kepada kerajaan.

Keputusan dalam PH dibuat dengan mengambil risiko secara kolektif. Tidak timbul seorang pemimpin sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan kerana setiap keputusan telah diambil kira dari setiap sudut.

Seperti mana-mana organisasi, risiko sebenar hanya akan dianalisa selepas kejadian dan kita hanya perlu ambil langkah untuk memperbaiki tindakan selanjutnya di manakah kekurangannya secara total dan bukan hanya melihat secara partial (bahagian tertentu sahaja).

Aset PH paling besar ialah pimpinannya siap untuk melangkah ke dimensi politik baharu yang sudahpun muncul seketika pasca 2018-2019.

Dari sudut strategi, PH hanya perlu mengurangkan ‘gap’ antara idealisme gagasan baharu dan persediaan rakyat menerimanya.

Kebobrokan budaya politik kuno yang masih berbaki dalam parti-parti PN, BN semakin terserlah walaupun PH pernah menamatkan riwayat budaya politik kuno namun ia segar kembali pasca pengkhianatan Langkah Sheraton. BN dan PN hidup segar hari ini atas nafas pengkhianatan untuk mencari peluang terlepas dari dijerut kesalahan rasuah.

Kita jangan tertipu ilusi ‘bossku’, ‘abah’ dan ‘Keluarga Malaysia’. Ia hanya tempelan kepada politik selamat diri dan penerusan tradisi politik kuno perkauman dan kebencian antara agama. Lihat sahaja PRN Melaka, itulah kejayaan mereka mempertahankan politik kuno!

PH jangan pula berada di awangan tanpa berpijak di bumi nyata dan kekal dalam ilusi gelombang 2018.

Kekalahan beberapa calon penyandang dari PH sepatutnya menyentak keberkesanan ‘politik akar umbi’ dan sejauh mana kita memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

Bagaimana pusat khidmat beroperasi, bagaimana pegawai pusat khidmat berperanan dan bagaimana YB PH kita disayangi pengundinya dan dihormati lawan dan kawannya di kawasan masing-masing. Itu satu muhasabah yang sepatutnya dibuat oleh semua YB PH dan yang bercita menjadi YB.

Jauhi dari menjadi lidah penyambung musuh politik PH dengan membuka pekung dan berberantakan sesama sendiri konon untuk menunjukkan keberanian. Berani biar bertempat kerana berani tanpa hikmah adalah satu kebodohan namanya.

Menuding jari dan mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan kerana PRN Melaka bukan sahaja satu rumusan yang bodoh tetapi juga hodoh pada mata rakyat awam.

DSAI berjiwa besar sejak awal dan sudah berapa kali seruan beliau perlu meletakkan jawatan sejak usaha kembalikan mandat digerakkan.

Namun seruan itu hanya melambangkan kegopohan dan kerapuhan kerana pihak yang melaungkan DSAI perlu letak jawatan sendiri tiada kekuatan, jauh sekali penggantinya lebih berkesan dari DSAI.

Pihak yang melaungkan nama tertentu perlu ambil alih turut bersikap simplistik dan tidak bertanggungjawab kepada keseluruhan senario perjuangan PH yang jauh perjalanannya.

PH terbina atas kejelasan idea perubahan tersusun, PH mencabar kewujudan politik lama yang menguasai masyarakat secara sistemik, setiap fasa yang dilalui oleh perjuangan PH sejak 1999 adalah pencapaian yang membanggakan.

Adalah silap untuk menilai natijah PRN Melaka yang berlaku secara paksa untuk merumuskan orang tertentu perlu ambil alih dari DSAI.

PH hanya perlu membuktikan konsep politik bersepakatannya lebih menarik dari pesaingnya dari BN dan PN. PH perlu membawa aspirasi negara dengan lebih meyakinkan rakyat berbilang kaum tanpa perlu hilang tonggak Melayu yang menjadi teras kepada strategi politiknya.

Isu Melayu-Islam tidak boleh dibolot secara persendirian oleh mana-mana parti politik, ia perlu menjadi kepentingan bersama dan diuruskan sebagai kepentingan nasional mengikut ketetapan perlembagaan dan keperluan lokal negara.

Keperluan gilir-ganti kepimpinan PH tidak berlaku di atas tindakan spontan, ia perlu dibuat secara terancang dan tidak terletak beban di bahu PKR atau DAP atau AMANAH semata.

Ia perlu mendapat keyakinan semua pihak dan penerimaan awam serta dibuktikan dengan merit akar umbi dan bukan merit medsos semata.

Kemunculan pemimpin pelapis perlu diberi ruang tetapi mestilah secara terancang dan bukan atas desakan dan tindakan spontan kerana kemarahan atau kekecewaan peribadi.