Malaysia Dateline

Anthony Loke dap

PRN Melaka: DAP buat keputusan berani

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berpendapat kepimpinan tertinggi DAP Pusat dengan konsensus parti itu di Melaka telah membuat satu keputusan yang berani dalam soal barisan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew memimpin melalui teladan dengan meninggalkan kerusinya yang lebih selamat di DUN Bandar Hilir untuk bertanding di DUN Bemban dalam misi mempertahankan kerusi yang amat mencabar itu.

“Kerusi DUN Bemban merupakan satu kerusi luar bandar dan DAP hanya memenangi kerusi tersebut buat kali pertama pada PRU-14.

“Barisan calon DAP bersifat inklusif dengan menampilkan calon daripada pelbagai kaum dan seorang calon wanita,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban itu berkata, DAP sekali lagi membuktikan bahawa parti komponen Pakatan Harapan (PH) tersebut bersedia untuk memberi peluang kepada anak muda.

Buktinya, jelasnya, lima daripada lapan calon PRN Melaka berumur di bawah 40 tahun dengan paling muda berusia 25 tahun iaitu Danish Zainuddin yang akan bertanding di DUN Pengkalan Batu.

“Calon kita yang paling tua hanya berumur 51 tahun iaitu Sdr Low Chee Leong yang akan mempertahankan kerusi DUN Kota Laksamana,” kata Anthony Loke lagi.

Sehubungan itu beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon yang diberi peluang oleh parti.

Walaupun begitu, katanya, cabaran besar menanti mereka terbabit untuk mendapat mandat daripada pengundi di kawasan masing-masing.

“Selepas keputusan dibuat, seluruh saf pimpinan dan ahli DAP perlu menumpukan segala usaha untuk mendapat sokongan dan kepercayaan pengundi Melaka,” tambahnya lagi.