PRN Melaka: DAP sokong Adly Zahari calon KM, guna logo PH

Oleh NASUHA RAHMAN

DAP Kebangsaan dan Negeri Melaka menyokong ADUN Bukit Katil Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri jika diberi mandat sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November ini.`

DAP juga sebulat suara bersetuju untuk menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) sebagai lambang perjuangan pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, DAP sekali lagi mengulangi pendirian menolak Norhizam Hassan Baktee yang telah mengkhianati mandat rakyat untuk bertanding dalam PRN sebagai calon PH.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga menegaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) harus memanggil semua parti politik tanpa memihak kepada parti pemerintah untuk berbincang tentang SOP PRN agar pilihan raya dapat dijalankan dengan adil, bebas, berkecuali dan bersih serta selamat tanpa melumpuhkan perjalanan demokrasi dalam PRN ini.

Katanya mengingatkan parti-parti yang bertanding agar membiarkan rakyat buat keputusan tanpa dikongkong, diugut, difitnah atau disogok politik wang.

“Rakyat Melaka berhak mendapat kerajaan yang mewakili dan menjaga semua tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama,” kata beliau dalam kenyataan.

Namun katanya, disebabkan pergolakan dalaman BN PN Melaka maka PH tiada pilihan selain mencabar keputusan tersebut di mahkamah dan pada masa yang sama menggerakkan jentera bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 20 November.

Guan Eng bersama kepimpinan DAP Melaka telah menjelajah seluruh negeri Melaka dan melawat lebih 500 ahli-ahli akar umbi dalam 10 DUN di Paya Rumput, Pengkalan Batu, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Duyong, Ayer Keroh, Bemban, Gadek, dan Lendu untuk meninjau persiapan operasi kempen pilihanraya.

Melaka akan menyaksikan PRN pada 20 Novemberi ini kerana pergolakan politik BN PN menyebabkan empat ADUN menarik sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali.