Malaysia Dateline

PRN Melaka: Duduk mengangkang tidak angkat martabat wanita

Daripada sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi Parti Amanah Negara (AMANAH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini, parti sekutu Pakatan Harapan (PH) itu meletakkan seorang calon wanita, Mazenah Baharuddin di N03 Ayer Limau.

DAP dan PKR turut meletakkan calon wanita pada PRN kali ini atas tiket PH.

Malah, PKR meletakkan calon termuda, Farzana Hayani Mohd Nasir, 21, di kerusi DUN Sungai Rambai.

Ketua Serikandi PKR negeri itu berhadapan saingan empat penjuru dengan Muhammad Jefri Safry (Perikatan Nasional – PN), Siti Faizah Abdul Azis (Barisan Nasional – BN) dan Nazatul Asyraf Md Dom (Putra).

Bersatu (PN) dan Umno (BN) juga meletakkan calon wanita mereka di beberapa DUN yang ditandingi.

Nampaknya semua parti yang bertanding punya tekad untuk menambah partisipasi wanita bertujuan merapatkan jurang gender dalam pentadbiran negara.

Usaha ini juga selaras dengan sasaran pembabitan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai penggubal dasar dan pembuat keputusan.

Namun, dalam keghairahan parti-parti yang bertanding menonjolkan calon-calon wanita mereka, ada yang tidak kena dengan penonjolan calon parti Gerakan yang mewakili PN di N20 Kota Laksamana.

Poster calon wanita PN yang dianggotai Bersatu, Pas dan Gerakan itu dilihat agak keterlaluan apabila Fong Khai Lin beraksi duduk mengangkang di sebuah kerusi.

Mungkin aksi sebegitu biasa bagi seorang artis wanita di Barat, namun bagi negara seperti Malaysia yang masih berpegang kepada adat ketimuran, ianya dianggap kurang sopan. Apatah lagi jika terpilih, Fong akan menjadi Adun dan pemimpin di kawasan yang diwakilinya.

Ada baiknya bagi parti-parti sekutu PN khususnya Bersatu dan Pas untuk menasihati Gerakan supaya lebih berhemah dalam penampilan calonnya.

Jika liberalisme dan pluralisme kini sudah diterima PN, ianya mestilah selaras dengan Rukun Negara khususnya prinsip kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Walaupun orang Melaka terkenal dengan ‘bahasa kasar’nya, namun cara duduk mengangkang bukan amalan para wanitanya dari segenap bangsa.

Sebenarnya, pelbagai program mesra wanita telah dilaksanakan ketika tempoh singkat PH mentadbir Melaka. Sebagai contoh mewujudkan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di pejabat kerajaan bagi memudahkan urusan ibu-ibu yang bekerja sebagai penjawat awam.

Sebagai projek perintis, sebanyak enam taska telah ditubuhkan pada 2019 dengan peruntukan RM1 juta. Lokasi terpilih adalah Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka, Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh, Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim), Politeknik Merlimau dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Inisiatif Tempat Kerja Mesra Ibu yang menyediakan bilik penyusuan di 18 agensi dan jabatan kerajaan turut diwujudkan.

Kerajaan PH negeri juga menyediakan insentif bagi memperkasakan wanita dalam bidang ekonomi. Antaranya mengurangkan kadar sewa premis perniagaan disamping menganjurkan program latihan dan pembangunan bagi golongan sasar.

Kita berharap usaha ini diteruskan oleh kerajaan yang dibentuk selepas 20 November nanti. Tapi ia mestilah berlandaskan kesopanan dan kesusilaan. Pemimpin wanitanya pula janganlah duduk mengangkang di khalayak umum.