Malaysia Dateline

PRN Melaka: Jangan jadi macam Sabah, kata A Kadir

Selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menarik sokongan dari kerajaan negeri, DUN diumumkan bubar hari ini dan bakal memberi laluan kepada pilihan raya negeri mengejut.

Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin memberi amaran agar keadaan ini tidak mencetuskan suasana seperti di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

PRN di Sabah antara punca kepada lonjakan kes positif Covid-19 dalam negara sehingga mencetuskan gelombang ketiga dan mencatatkan angka kes tertinggi melebihi 24,000.

“DUN Melaka dibubarkan. Pilihan raya negeri akan diadakan. Jangan jadi macam Sabah. Covid-19 menjadi padah,” ulasnya ringkas di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, empat Adun mengumumkan penarikan sokongan daripada kerajaan negeri.

Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Mereka berkata, tindakan berkenaan rentetan daripada beberapa keputusan kerajaan negeri yang tidak terlaksana, sekali gus meletakkan Melaka sebagai negeri yang ‘flip flop’ atau sering berubah-ubah dalam membuat keputusan.

“Seolah-olah ada dua singa di atas satu gunung dan ini menimbulkan keresahan rakyat,” katanya.