Malaysia Dateline

PRN Melaka: KANUN Muda gesa polis siasat secara adil parti politik langgar SOP

Biro Undang-Undang AMANAH (KANUN) Muda meminta jaminan dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar tidak mengenakan layanan dua darjat dalam proses siasatannya terhadap calon dari Pakatan Harapan (PH) yang didakwa telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika penamaan calon.

Ini susulan laporan yang diterima pihak polis bahawa calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Ashraf Minghat membawa penyokong ketika penamaan calon semalam.

Peguam Penyelaras KANUN Melaka, Azri Abdullah berkata, polis perlu adil dalam menjalankan siasatan kerana calon DUN Tanjung Bidara dari Barisan Nasional (BN), iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh juga didapati telah melanggar SOP Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Justeru, Azri menuntut satu siasatan adil tanpa layanan dua darjat antara dua parti tersebut.

“KANUN Muda dengan tegas memohon jaminan dari pihak PDRM supaya pihak PDRM dapat berlaku adil dan tiada dua darjat diamalkan dalam keseluruhan perjalanan PRN Melaka ini.

“Dalam apa jua keadaan, diharapkan tidak ada sebarang tekanan tidak wajar dikenakan ke atas mana-mana pihak yang boleh menggagalkan semangat demokrasi

“KANUN akan terus memainkan peranan sebagai badan undang-undang AMANAH dan Pakatan Harapan bagi memastikan undang-undang berjalan dengan baik, teratur serta adil dan saksama sepanjang tempoh Pilihanraya Negeri Melaka ke-15 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rauf Yusoh didakwa telah berarak secara beramai-ramai dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada penamaan calon semalam.