PRN Melaka: Kenali siapa ahli politik tidak jujur, mereka harus diajar

Oleh NASUHA RAHMAN

Inilah masanya rakyat Melaka menggunakan hak dan kuasa pada pilihan raya 20 November ini untuk membuktikan bahawa mereka menolak politik kotor, politik rasuah dan politik pelacur.

Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, anak muda pada hari ini harus merubah sikap serta mengenali siapa orang politik yang jujur atau siapa ahli politik yang menjual kerusinya.

“Kalau kenal siapa ahli politik ini, mereka harus diajar.

“Saya pohon rakyat mesti buat pilihan dan gunakan PRN Melaka ini untuk buktikan kita menolak politik kotor,” katanya dalam program bual bicara secara lagsung di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, di Melaka merupakan satu pentas yang sangat baik untuk rakyat mengajar mana-mana orang parti politik yang menolak mandat rakyat sekaligus tidak hormat pada demokrasi.

Tegasnya, parti yang tidak hormati mandat rakyat harus disingkirkan melalui kuasa rakyat.

“Saya lihat banyak peranan yang dimainkan oleh NGO memberikan pendidikan kepada rakyat tentang demokrasi termasuklah wakil rakyat yang bersuara di dalam parlimen,” katanya.

Melaka akan menyaksikan pilihan raya pada 20 November ini, ramai pihak melihat pilihan raya ini satu momentum kepada rakyat untuk menilai kerajaan di PRU15 yang akan datang.