Malaysia Dateline

PRN Melaka: ‘Kita tidak mahu bergaduh dengan orang’

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata parti itu sentiasa membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, Bersatu mengamalkan politik mesra, kasih sayang dan tidak bermusuh dengan sesiapa, khususnya rakan parti lain yang memperjuangkan wadah sama.

“Kita tidak mahu bergaduh dengan orang. Kalau orang bergaduh dengan kita pun, kita maafkan dan nak berbaik dengan sesiapa juga tapi jangan sampai merosakkan agama, bangsa dan tanah air.

“Saya yakin kalau kita buat sesuatu yang baik (tetapi) orang tidak bersama dengan kita, Allah pasti akan buka hati mereka untuk bersama dengan kami yang benar-benar ikhlas nak bekerja untuk rakyat,” lapor BH. 

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka.

Selagi tiada perbincangan rasmi antara Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka dangan Biro Politik, kata Zahid pada 6 Oktober lalu, maka belum ada keputusan terhadap kerjasama tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, penolakan kerjasama antara Umno dan Bersatu itu bukan diputuskan oleh majoriti pemimpin parti tersebut, sebaliknya hanya dicadangkan oleh beberapa pemimpin sahaja.

“Kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi, bukannya pandangan majoriti parti yang mereka wakili,” kata bekas Menteri Besar Perak itu lagi.