Malaysia Dateline

PRN Melaka: Mendefinisi katak

Lompat si katak lompat,

Lompat di dalam perigi,

Lompat jangan tak lompat,

Nanti tak sempat menjadi.

Pantun empat kerat di atas diungkapkan Ahli Parlimen Penggerang (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika berucap di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dalam ucapannya itu, bekas menteri dan mantan timbalan speaker dari Umno itu menyentuh budaya lompat parti yang semakin berleluasa selepas Langkah Sheraton yang digerakkan para pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sebahagian pemimpin PKR diketuai Azmin Ali pada hujung Februari 2020.

Langkah khianat ini menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat puluhan Ahli Parlimennya berpaling tadah.

Azalina sebelum itu telah menyerahkan usul persendirian RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 untuk dibahas di Dewan Rakyat.

RUU itu diharap dapat menjadi mekanisme membendung budaya lompat parti yang menjadi punca ketidakstabilan politik mutakhir ini.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan 20 November ini turut hangat dengan isu ‘katak’ yang merujuk kepada budaya lompat parti.

Serangan ditujukan kepada PH kerana menyenaraikan dua bekas ADUN BN-Umno sebagai calon mewakili gabungan PKR, DAP dan AMANAH pada PRN Melaka.

Namun parti sekutu PH iaitu DAP secara konsisten menyatakan rasa tidak setuju atas tindakan PKR mencalonkan Datuk Idris Haron di Dun Asahan dan AMANAH yang menamakan Datuk Nor Azman Hassan di Dun Pantai Kundor.

DAP juga sejak dari awal menolak sebarang cubaan meletakkan bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Bakti sebagai calon PH walaupun mantan pemimpin DAP itu ialah salah seorang daripada empat ADUN yang menyebabkan kerajaan BN Melaka tumbang.

Seorang lagi bekas ADUN terlibat, Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) tidak tercalon pada PRN kali ini manakala Norhesam pula bertanding sebagai calon bebas di DUN Pengkalan Batu.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari dalam satu wawancara dengan Malaysiakini berkata, tidak mudah untuk Pakatan Harapan (PH) menerima kemasukan dua bekas ADUN Umno menyertai gabungan berkenaan namun menganggap ia sebagai langkah yang perlu diambil.

Menurutnya, Idris Haron dan Nor Azman sudah terpisah daripada Umno dengan langkah mereka menarik balik sokongan kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali sehingga membawa kepada pembubaran DUN.

Kata Adly kesukaran seperti itu pernah dialami PH ketika mereka mahu menerima bekas perdana menteri yang juga mantan presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad sebelum PRU ke-14 lalu.

Apa yang menarik untuk dilihat, bukan PH sahaja menamakan ‘calon lompat’ pada PRN kali ini, malah PN dan BN juga berbuat demikian.

PN sebagai contoh mencalonkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon di DUN Tanjung Bidara. Mas Ermieyati bertindak meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada 2019.

BN pula mencalonkan semula bekas ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis di Dun yang sama pada PRN kali ini. Jailani yang menang atas tiket PKR pada PRU 2018 bersama tiga ADUN lain menarik sokongan daripada kerajaan PH negeri selepas Langkah Sheraton.

Beliau akhirnya menyertai Umno pada Januari 2021. Jika dilihat daripada senario yang berlaku, jelas bahawa PN dan BN masing-masing meletakkan calon ‘katak’ pada PRN kali ini sedangkan PH menamakan dua calon yang dipecat Umno.

Idris dan Nor Azman juga tidak melompat menyertai parti lain ketika bergelar ADUN malah menyatakan masih setia kepada Umno sehinggalah keahlian mereka dipecat.

Definisi ‘katak’

Sehubungan itu selain memikirkan mekanisme untuk membendung budaya lompat parti atau ‘katak’ dalam politik, Akta Lompat Parti yang bakal digubal perlu mempunyai definisi yang jelas tentang ‘katak’.

‘Katak’ mungkin boleh diistilahkan kepada wakil rakyat yang bertukar parti tanpa sebab yang meyakinkan; tetapi adakah wajar jika ia membabitkan wakil rakyat yang dipecat oleh parti kerana mendedahkan kebobrokan parti yang didokonginya.

Malah ketika diterima menyertai parti lain, beliau bukanlah ahli mana-mana parti berdaftar.

Ketidakpastian ini perlu dijelaskan dalam RUU Lompat Parti agar ‘katak’ tidak secara berwewenang dilabelkan kepada mana-mana pemimpin politik.

Ironinya ia menjadi tanggung jawab anggota parlimen yang sebahagiannya memang layak dipanggil ‘katak’.