Malaysia Dateline

PRN Melaka: Pas guna lambang PN

Pas akhirnya bersetuju menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat hari ini telah meluluskan penggunaan lambang gabungan itu pada PRN yang berlangsung pada 20 November depan.

“Ketetapan ini telah mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama’ Pas yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

PN dianggotai oleh Bersatu, Pas dan Gerakan dengan Pengerusinya, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Pada 25 Oktober lalu, mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN memutuskan parti-parti gabungan itu sepakat untuk bertanding pada PRN Melaka menggunakan lambang PN.