Malaysia Dateline

PRN Melaka: Peluang Umno tunjuk lebih kuat daripada Bersatu

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat sebagai peluang Umno untuk menunjukkan bahawa mereka lebih kuat daripada Bersatu.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan, berkata kenyataan awal Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mencadangkan PRN dibuat bagi meleraikan kemelut politik di Melaka, menterjemahkan keyakinan Umno mengekalkan penguasaan mereka dalam kerajaan negeri.

Azmi berkata, kenyataan kedua Ahmad Zahid dalam tempoh 24 jam selepas itu yang menyokong darurat dikuatkuasakan di Melaka, pula hanya untuk mengelakkan Umno dipersalahkan rakyat sebagai punca PRN terpaksa diadakan.

“Kenyataan pertama Ahmad Zahid menunjukkan Umno yakin di Melaka dan Bersatu tidak kuat. Itu memang berasas terutama dari segi jentera pilihan raya, Bersatu yang agak lemah.

“Jadi, PRN Melaka adalah peluang Umno untuk menunjukkan bahawa mereka lebih kuat daripada Bersatu. Bersatu sendiri tahu mereka adalah lemah di negeri itu berbanding Umno.

“Sebab itu Bersatu (bersama Pas dalam PN) mengajak Umno berunding supaya tidak berlaku pertembungan sesama mereka,” lapor BH hari ini.

Mengulas lanjut, Azmin bahkan yakin Umno tidak bermasalah untuk menyaingi Bersatu dari segi jumlah kerusi yang dimenangi dalam PRN Melaka.

Hal tersebut, ujarnya, akan mengakibatkan Bersatu tersepit di peringkat nasional apabila Umno akan menggunakan keputusan PRN Melaka untuk mempamerkan mereka lebih dipercayai pengundi.

“Ini yang Bersatu tidak mahu kerana senario di Melaka adalah berlainan dengan senario nasional.

“Bersatu agak tersepit dalam perkara ini, sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun dari Umno, telah menyuarakan kegusaran beliau tentang PRN Melaka, ini untuk ambil hati kedua belah pihak iaitu Umno dan Bersatu,” tambah Azmi lagi.

Bermula semalam, PRN Melaka perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari apabila DUN dibubarkan ekoran tindakan empat ADUN kerajaan menarik balik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.