Malaysia Dateline

PRN Melaka: Perlukah darurat?

Jawapan mudah, tidak perlu darurat. Mengapa perlu darurat setelah DUN dibubarkan? Untuk mengelakkan dari berulangnya tragedi Sabah? Jika itu yang difikirkan, mengapa baharu sekarang?

Setelah dibubarkan, maka untuk integriti, demokrasi dan keyakinan orang luar kepada sistem kita, maka teruskan sahaja dengan PRN. Jangan lagi kita rosakkan imej negara dengan kesilapan pemimpin “yang buat dahulu fikir kemudian.”

Untuk mohon YDPA mengisytiharkan darurat, hanya PM yang boleh nasihatkan baginda. Saya harap PM tidak bertindak demikian.

Keluarga Malaysia mesti berjiwa besar dan menjunjung perlembagaan. Perlembagaan kata setelah DUN dibubarkan, pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.

Untuk nasihatkan YDPA pun, PM mesti mempunyai data kukuh bahawa PRN Melaka boleh mendatangkan bencana kesihatan. Dengan kadar vaksin yang sudah hampir 90%, hujah kesihatan untuk menasihatkan Agong mengisytiharkan darurat sudah tidak kuat lagi.

Bolehkah keputusan awal gabenor ditarik balik?

Saya fikir boleh dengan cara mengeluarkan gazet baharu jika dipersetujui oleh gabenor dengan alasan ancaman kesihatan yang serius masih wujud dan gabenor tidak diberikan nasihat yang betul tentang hal ini.

Jika nak buat alasan ini, maka menteri kesihatan dan KKM perlulah menyediakan buktikan yang kuat untuk menyakinkan rakyat dengan tindakan ini. Begitupun, belum tentu rakyat percaya dan yakin dengan data kesihatan yang diberikan nanti.

PRN Melaka: Di mana silapnya?

Silapnya gabenor menerima nasihat tidak bertanggungjawab dan bertindak terburu-buru membubarkan DUN.

Sepatutnya dari awal DUN tidak dibubarkan. Buat undi tidak percaya sahaja di lantai Dewan dan setelah itu lantik kerajaan baharu yang mendapat undi majoriti.

Setelah dibubarkan ikut proses perlembagaan. Teruskan PRN dengan SOP yang ketat dan kembalikan hak rakyat memberikan mandat kepada pihak yang wajar menjadi kerajaan negeri.

Ini kerana darurat boleh memberikan imej tidak baik pada ekonomi Melaka. Darurat juga tidak boleh disytiharkan semata-mata untuk menghalang PRN. Ini mematikan demokrasi.

Ada orang kata, ‘the health and lives of the people must come first, not silly politics’. Saya tidak setuju. Prioriti sekarang ialah ‘is to run a democratic and ethical election’. Adalah lebih baik ‘going to the ballot box than a limbo’.