Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah masa terbaik untuk Pakatan Harapan (PH) membuktikan kesungguhan menampilkan calon yang berwibawa serta mencapai merit yang diharapkan rakyat.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Muhamad Taquiddin Cheman berkata, rakyat sudah semestinya akan menilai sama ada PH benar-benar mendengar dan membawa aspirasi yang dinginkan rakyat dengan membariskan calon mempunyai nilai kepimpinan yang diyakini mampu membawa perubahan.
Dalam masa yang sama katanya PH juga perlu dilihat konsisten dan menunjukkan komitmen untuk bersama dalam membanteras gejala lompat parti yang membawa banyak masalah kepada negara.
“Kita seharusnya sedar bahawa penilaian terhadap PRN Melaka ini bukan sahaja pengundi di Melaka tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya dan berkemungkinan menjadi panduan awal buat mereka untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti,” kata beliau.
Justeru, jelasnya parti-parti yang menganggotai PH seharusnya teliti dan bersikap tegas dalam membawa nama-nama calon untuk ditawarkan kepada rakyat Melaka dalam PRN nanti.
PRN Melaka bukan satu langkah yang tepat dengan kehendak rakyat bagi mengatasi kemelut yang berlaku, namun pengumuman yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merupakan petanda bahawa PRN perlu diadakan sekiranya tidak dihalang melalui penghakiman yang dibawa oleh PH bagi mencabar kesahihan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).