Malaysia Dateline

PRN Melaka satu pengajaran berguna

Pakatan Harapan (PH) menyertai PRN Melaka dengan sedikit keyakinan mempunyai banyak kelebihan setelah berlaku keadaan tiga penjuru melibatkan PH – BN – PN.

Apa yang kita percaya? Bahawa sekiranya 3 penjuru, kelebihan adalah kepada PH sebagaimana berlaku pada PRU14 lalu. Kita percaya undi kepada pecahan undi melayu terutama dari BN dan solidnya undi bukan melayu kepada Pakatan akan memberi kita sedikit kelebihan.

Apa yang berlaku? Undi melayu kepada BN kekal manakala PN merampas undi melayu milik PH. Walaupun peningkatan peratusan undian hanyalah 4% berbanding undi yang diperoleh PAS pada Pru14, namun angka ini menjadi significant kerana undi melayu pada PH pada PRU14 lalu hanya sekitar 25%. Undi cina pula walaupun sebahagian besar masih kekal namun tidak lagi mencapai paras 98%. Tanjung Piai berulang dan punca harus dikaji.

Apa lagi yang kita percaya? Bahawa PN bukan saingan dan pencabar kepada PH mahupun BN.

Apa yang berlaku? PN memperoleh undi dibeberapa tempat melebihi undi PH menjadikan PH pula seolah blok ketiga di Melaka. PN juga menang dua kerusi menewaskan BN dan PH. Ini merupakan satu kejutan dan pengajaran besar untuk kita bahawa jangan pandang enteng kepada PN. Mereka sudah membina kekuatan teras. Walaupun undi popular mereka jauh dibawah namun sistem first past the post, undi popular tiada guna, lainlah kalau kita memilih Presiden negara.

Dalam PRN kali ini, jumlah undi popular BN adalah 38%, manakala PH adalah 35%, manakala PN 24%, jika sistem yang lebih adil, mustahillah BN dapat 2/3 , sepatutnya dan sekurangnya dapat BN-14, PH-11,manakala PN-3, namun pensempadanan yang karut ini memberi kelebihan yang amat amat amat besar kepada BN. Ini akan berulang dalam PRU15 akan datang.

PRN Melaka juga membuktikan rakyat memilih parti bukan calon, dua dalil ada membuktikan hal ini iaitu walaupun kajian menunjukkan Adly ketua menteri yang disenangi, lebih popular namun PH kekal kalah. Begitu juga dua katak diangkat sebagai calon atas nama “Strategi” namun bekas adun dan bekas KM ini ditolak mentah mentah oleh rakyat walaupun ada claim mereka individu yang ada pengaruh yang mampu menarik undi penyokong UMNO.

Soal mengangkat katak juga menjadi perbahasan, Prof Madya Dr Yusri Ibrahim dari Ilham Centre mendakwa ia faktor besar menyumbang kepada kekalahan PH, manakala Pengarah Komunikasi AMANAH , Khalid Samad mendakwa PH kalah bukan faktor penerimaan katak.

Dalam perbahasan ini, Ilham Centre adalah lebih mendekati kebenaran bahkan lebih selari dengan naratif yang kita jaja sebelum ini, iaitu rakyat tolak katak. How can bila kita kata rakyat tolak katak, rakyat benci katak, tetapi bila kita kalah pilihan raya maka katak bukan punca kekalahan? Itu orang putih kata bullshit, orang melayu kata karut.

Kalau kita setuju katak ini ditolak, konsisten lah. Mengambil katak adalah strategi paling karut dibawa oleh pimpinan PH. Apatah lagi Ilham Centre menyebut hal tersebut dari hasil dapatan kajian dan tinjauan.

Habis tu kenapa Jailani yang lompat dari PKR menang atas tiket BN? Ini faktor rakyat memilih parti dan juga rakyat tak kenal Jailani sebagai pemimpin lompat yang menjatuhkan kerajaan Melaka hingga mereka terpaksa mengundi. Ya ini bertentangan dengan ide rakyat menolak katak, tetapi ia idea kita jaja jadi kenapa kita ingkari idea tersebut?

Ya katak ni boleh jadi bukan sebab orang tak undi PH sebab semua parti ada katak, tetapi katak ini boleh jadi sebab orang tak balik untuk mengundi sebab menurutnya semua parti sama. Mereka ini dalam kumpulan penduduk urban yang undi mereka adalah untuk PH. Merekalah yang paling kecewa dengan katak yang menjatuhkan kerajaan PH. Katak bukan menyebabkan orang tak undi PH, katak menyebabkan pengundi PH pru14 tidak balik mengundi!

Pakatan Harapan juga harus memikirkan secara serius kaedah untuk mendapatkan balik undi melayu dari PN, solusi yang ada akan menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak terutama rakan keadilan namun jika tiada penyelesaian atau plan untuk PRU akan datang. Kita menempah satu tiket ke “Bandar Kekalahan”.

Idea khemah besar harus dilaksana dengan jitu, dan serius serius melibatkan parti pembangkang terutamanya Pejuang dan Muda. Even mereka boleh tarik 0.5% sahaja pun itulah peluang kita.

Jika Anwar bermasalah dengan Tun, usahakan kerjasama ini melalui Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir. Sewaktu di Melaka untuk kempen baru baru ini, antara petugas yang membantu adalah dalam kalangan ahli Pejuang.

Menurut mereka ketika bercakap bersama, Tun M melarang keras mereka bantu, namun Mukhriz Mahathir membenarkan. Ini satu signal bahawa Pejuang masih rakan kita selain sebelum ini solid beri undi kepada Anwar sebagai calon PM setelah kejatuhan Mahiaddin.

Ada yang menyalahkan kekalahan ini kerana menggunakan logo Harapan, ia janggal sebab tiada badan kajian yang menyebut itu sebagai faktor , sebaliknya dari penyokong parti tertentu sahaja. Jadi selagi mana ia tidak dibuktikan melalui tinjauan atau kajian dari mana mana agensi. Jadi kita kena nantikan itu juga dahulu.

Ada kesilapan kita selepas menang PRU14 lalu, iaitu rasa syok sendiri bahawa rakyat dah terima dengan naratif Malaysia baru. Beberapa move kita bagus namun tidak mampu mencairkan sokongan terhadap pengundi melayu. Kita nak baiki ia sukar sebab kita tidak berada pada posisi kerajaan lagi, namun kita boleh usahakan untuk kembalikan dahulu sokongan orang Melayu yang dirampas oleh PN.

Pakatan Harapan masih ada peluang dan ruang dalam PRU15, selain kekuatan sedia ada, juga teladan yang boleh diambil dari PRN Melaka.

Kalah pertempuran memang menyakitkan namun harus menjadi asbab kita berusaha lebih keras untuk peperangan lebih besar.

 

Penulis merupakan Setiausaha Pemuda Amanah Terengganu