Malaysia Dateline

PRN Melaka: Selepas gerakkan jentera pilihan raya, PN akan umum kerjasama dengan BN

Selepas menggerakkan jentera pilihan raya, Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan bentuk kerjasama dengan rakan politik, termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata parti komponen PN, termasuk Bersatu, Pas dan Gerakan akan mengadakan perbincangan bersama rakan politik lain dalam kadar segera untuk membentuk kerjasama itu.

“Dalam tempoh terdekat ini, kita akan umumkan bagaimana bentuk kerjasama yang akan kita adakan bagi menghadapi PRN Melaka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Gempur PN Melaka di sebuah hotel semalam.

Turut hadir, tiga Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Rafiq Naizamohideen dan Datuk Dr Radzi Md Jidin serta Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, tidak timbul isu perpecahan dalam PN Melaka meskipun kerjasama bersama Umno belum diputuskan.

Bahkan, jelasnya, kerjasama politik yang berlaku di peringkat Pusat boleh dipraktikkan pada PRN akan datang.

“Kalau di peringkat Pusat kerjasama boleh dibentuk, ini bermakna di semua negeri juga ia boleh direalisasikan.

“Tidak timbul sebarang perselisihan, malah jalinan kerjasama politik bersama Umno sebagaimana di peringkat Pusat mampu dipraktikkan dalam PRN Melaka,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini belum ada mana-mana pemimpin PN yang mengumumkan perpecahan dengan mana-mana pemimpin parti lain.

Untuk rekod, tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan pengundian awal 16 November.

Pada 4 Oktober lalu, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan BN hilang majoriti di DUN.