Malaysia Dateline

PRN Melaka: Setiap satu undi amat berharga

Setiap satu undi adalah amat berharga dalam menentukan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung 20 November ini.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, selain kerusi-kerusi boleh menang Pakatan Harapan (PH) dan Umno, pertarungan di 10 hingga 12 kerusi akan menjadi penentu PRN tersebut.

“Katakanlah, PH dan Umno masing-masing mempunyai sekitar 8 hingga 10 kerusi yang boleh dimenangi.

“Daripada kesemua 28 kerusi DUN Melaka, jika berlaku peralihan undi (vote swing) di 10 hingga 12 kerusi utama, inilah yang akan menjadi penentu PRN Melaka.

“Ini bermakna, setiap satu undi amat berharga,” katanya dalam satu artikel tulisannya hari ini.

Chin Tong berkata, kelebihan calon Ketua Menteri PH, Adly Zahari berkata jelas terserlah kewibawaannya sebagai pemimpin berbanding calon-calon lain.

Sebagai mantan Ketua Menteri Melaka, kata beliau, Adly dilihat sebagai pemimpin yang ramah, jujur, cekap dan popular dalam kalangan akar umbi.

“Jika beliau mampu meyakinkan pengundi-pengundi atas pagar serta pengundi Melaka yang bermastautin di Kuala Lumpur, Johor dan beberapa bandar lain, Adly merupakan harapan terbaik untuk mengembalikan Pakatan Harapan sebagai kerajaan Melaka pada Sabtu ini,” tambahnya.