Malaysia Dateline

PRN Melaka: Tawaran RM200 kepada guru tahfiz umpan rakyat

Sayap wanita muda Parti Pejuang Tanahair (Pejuanita Muda) Pahang mengecam Perikatan Nasional (PN) yang menawarkan bayaran RM200 sekali bayar kepada guru tahfiz, Kelas al-Quran, Fardhu Ain dan tadika di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) jika berjaya membentuk kerajaan negeri.

Ketuanya, Farhanim Zainal berpendapat tawaran ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung itu merupakan suatu tindakan tidak bermoral sama sekali.

Tegasnya, Mahiaddin Yassin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan itu telah menormalisasikan amalan rasuah wang kepada rakyat demi meraih undi.

“Amalan rasuah ‘scheme of things’ dari Pengerusi Perikatan Nasional; Tan Sri Mahiaddin Yassin kini telah dengan tanpa segan silu dan tanpa maruah terus diamalkan dengan mengumpan rakyat dengan sejumlah wang untuk sebuah kemenangan di Pilihan Raya Negeri Melaka kini.

“Amalan ini jelas merosakkan moral dan akhlak rakyat apabila mereka diasuh dengan wang ringgit untuk memilih,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, rakyat mempunyai hak dan suara yang lebih besar untuk manfaat, pembangunan serta kebajikan rakyat tanpa rasuah kerana adalah tanggungjawb pemimpin untuk menyediakan seluruh keperluan rakyat tanpa menawarkan pulangan yang tidak masuk akal.

“Sejarah tertubuhnya kerajaan pintu belakang iaitu Kerajaan Perikatan Nasional yang telah menzahirkan ‘scheme of things’ untuk beliau menjadi Perdana Menteri dengan memberi jawatan jawatan penting kepada mereka yang telah bersama bersekongkol untuk mengangkat beliau sebagai Perdana Menteri jelas tidak membawa sebarang kebaikan kepada rakyat malahan menyebabkan krisis ekonomi yang lebih besar,” tegasnya.

Kelmarin, Mahiaddin mengumumkan bayaran RM200 sekali bayar tersebut ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Ikrar Perikatan Nasional bagi PRN Melaka.

Selain itu, PN juga menawarkan bantuan kepada anak-anak yang dilahirkan di Melaka bermula tahun ini sebagai insentif kepada rakyat dalam tempoh sukar sehingga memberi kesan kepada perbelanjaan menyambut kelahiran.

Mahiaddin berkata, kedua-dua tawaran one-off itu adalah tunjang kedua dalam Ikrar PN yang menumpukan keprihatinan kepada rakyat meliputi pelbagai perkara termasuk kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi dan pendidikan untuk setiap rakyat Melaka.

Sehubungan itu, Farhanim menegaskan prinsip perjuangan Parti Pejuang Tanahair yang berpegang teguh menolak rasuah dan politik wang serta kuasa.

“Pejuanita Muda Pahang menegaskan amalan rasuah ‘scheme of things’ seperti ini perlu dihentikan serta-merta dan berharap rakyat lebih bijak menilai kepimpinan berbanding janji manifesto berbentuk rasuah sebegini,” tegasnya lagi.