Malaysia Dateline

PRN Melaka: Tiada media rasmi PH?

Mungkin tidak penting kepada sesetengah pembaca tetapi bagi saya antara sebab utama kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam dalam PRN Melaka ialah tiada penyatuan media dalam pergerakan jentera pilihan raya kerana masing-masing bergerak sendiri dalam kapasiti terbatas.

Kebanyakan media membuat perancangan dengan keupayaan yang terjangkau sahaja tidak mampu dan berupaya melihat secara menyeluruh dalam memberikan penumpuan kepada keseluruhan PRN Melaka.

PH tiada pengurus dalam hubungan dan pengurusan media yang terpusat. Kebanyakan bahan dan berita yang dimuat naik di medsos atau media sosial tidak tersusun dan dirangkaikan dengan baik. Tiada suara media rasmi PH atau rangkaian media-media rasmi PH.

Tidakkah media penting sebagai corong saluran rasmi tumpuan rakyat dan dalam PRN Melaka perkara ini tidak membantu dan media sosial juga sekadar di pinggiran dan bermain politik bercelaru. Apa yang ada kebanyakannya pendapat atau berita-berita yang tidak dipastikan kesahihannya.

Sudah tiba masanya menjelang PRU-15 satu media rasmi PH harus digerakkan yang melampaui media milik parti.

Dalam kalangan PH juga terdapat ramai tokoh wartawan dan pengurus media profesional dan berpengalaman. Mereka dikira dapat membantu melahirkan media rasmi PH.

Pada sehari sebelum pilihan raya apabila saya menekuni berita-berita atau artikel yang siarkan oleh media-media sokongan PH saya tidak nampak artikel atau berita mengenai rakyat.

Penumpuan banyak kepada pemimpin dan tidak memberikan ruang kepada pemimpin setempat. Bukannya salah memberikan penumpuan kepada para pemimpin kerana rakyat perlu mengenali calon mereka tetapi harus juga memberikan ruang kepada rakyat dan pemimpin bawahan.

Phak-pihak tertentu yang membuat kerja-kerja lapangan di kawasan pilihan raya untuk mendapatkan data strategik sokongan pengundi namun tiada media yang pergi memfokus untuk menemubual rakyat dan pemimpin setempat.

Perkara ini adalah penting bagi membuka ruang untuk sekurang-kurangnya rakyat bersuara yang dapat dijadikan asas maklumat calon-calon membuat ucapan melalui media dalam isu-isu yang dikemukakan rakyat setempat.

Sepanjang saya meneliti dalam siaran di kedua-dua media baharu dan lama hampir tiada suara rakyat. Ia tidak diberikan berita keutamaan atau mendapat publisiti. Suara rakyat itu yang saya maksud ini ialah suara daripada wakil pemimpin setempat atau pertubuhan berkaitan dengan partisipasi rakyat.

Perkara ini seharus dibuat pada peringkat awal pilihan raya untuk turun ke bawah dalam kapasiti dibenarkan. Pemimpin PH tidak perlu menumpukan kepada kenyataan isu nasional seperti rasuah atau integreti pemimpin peringkat pusat. Kupasan tentang isu tempatan daripada suara rakyat perlu diutarakan.

Ada masanya pengundi PRN tidak berminat untuk membaca dan mendengar isu nasional kerana mereka sudah rutin mendengarnya dan bagi mereka isu tempatan dan lokal adalah lebih penting untuk diketahui. Ini boleh membuat peralihan sokohan dalam kalangan pengundi dan sikap sesetengah yang tidak keluar mengundi.
Ia mungkin mereka sudah muak membaca berita-berita dan pendedahan yang sudah didengari dan diulang-ulang oleh pemimpin yang sama.

Kekadang agak pelik juga pengundi ini terutama dalam PRN Melaka apabila membuat pendedahan mengenai rasuah pemimpin tertentu dan disiarkan di skrin media supaya pengundi cerna dan membuat keputusan untuk tidak mengundi parti tersebut tetapi perkara sebaliknya berlaku, undian lebih mantap dan kukuh.

Dalam hal ini suatu kajian dan penelitian semula mengenai pembingkaian dan penentuan agenda (agenda setting) media-media pro PH yang tidak mencapai matlamat dalam mempengaruhi pengundi.

Tidak dinafikan terdapat kalangan pengundi yang telah kebal dengan pengaruh media tetapi yang penting ialah kepada pengundi tegar PH dan yang berada di atas pagar supaya tidak bersikap berkecuali dan tidak turun undi atau membuat keputusan menyokong pihak lain.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor.