Pilihan Raya Negeri Melaka akan menjadi ujian terhadap ketahanan Malaysia sebagai sebuah demokrasi dan juga ujian terhadap integriti parti-parti politik.
Landskap politik baharu sedang bergelut untuk dilahirkan dan kerana itulah satu perkara yang belum didengari dalam arena politik negara kita sebelum ini, memorandum persefahaman kepercayaan-perbekalan-reformasi telah ditandatangani di antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan empat orang pemimpin Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, dan Wilfred Madius Tangau pada 13 September.
Parti-parti politik dan rakyat Malaysia masih bergelut untuk mencari titik pertengahan dalam landskap politik baharu ini dan perkara ini akan mengambil masa yang lama — mungkin berbulan atau bertahun lamanya.
Misalnya, tokoh-tokoh penubuhan negara kita tidak pernah membayangkan situasi di mana tidak ada satu pun parti politik yang boleh mempunyai hegemoni politik, mahupun situasi di mana tidak ada satu pun parti yang mempunyai majoriti di Parlimen untuk membentuk kerajaan. Negara kita mungkin sedang memasuki era di mana parti-parti politik perlu bekerja sama antara satu sama lain demi negara apabila tidak ada mana-mana parti dapat mencapai majoriti di Parlimen.
Perkara ini memerlukan satu bentuk pembentukan gabungan politik yang jujur, bukannya kerajaan gabungan yang dilihat dalam enam dekad sebelum ini, di mana pemikiran baharu diperlukan untuk menentukan apakah yang boleh dan tidak boleh diterima dan dicapai dalam masyarakat berbilang kaum, berbilang bahasa, berbilang agama, dan berbilang budaya.
Pilihan Raya Negeri Melaka ini akan mempunyai kesan yang lebih meluas, bukan sahaja untuk negeri itu sendiri, tetapi juga untuk negara.
PRN Melaka ini tidak sepatutnya diadakan, kerisauan dan kebimbangan penduduk di Melaka dan rakyat Malaysia yang PRN ini mungkin akan menyebabkan berlakunya gelombang penularan keempat seperti yang berlaku selepas PRN Sabah pada bulan September tahun lepas adalah satu kebimbangan yang perlu diambil berat.
Tetapi, sekiranya pilihan raya di Melaka ini tidak dapat dielakkan, ia perlulah dijalankan secara bersih dan jujur, yang akan menjadi bukti kejayaan pertemuan empat tamadun hebat dunia di Malaysia.
Ada dikatakan yang untuk mencapai kemenangan di Melaka, kita perlu bersama secara taktikal dengan sesiapa yang boleh membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan.
Sekiranya diberikan pilihan di antara untuk bekerjasama dengan kleptokrat, oportunis, dan mereka yang jahat atau kalah dengan berpegang kepada prinsip politik dan integriti, saya memilih pilihan yang kedua.
Atas sebab inilah saya berpendapat bahawa empat mantan Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah menjadi punca kepada berlakunya pilihan raya negeri Melaka ini tidak patut dicalonkan sebagai calon Pakatan Harapan dalam PRN Melaka.