Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi di Ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur masih belum mencapai keputusan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Umno menanti pengumuman rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pilihan raya itu, kata Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“MKT (Majlis Kerja Tertinggi) bincang mengenai PRN Melaka. Kena tunggu keputusan SPR,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus selesai mesyuarat MKT Umno malam tadi.
Dalam hal berkaitan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata parti itu akan mengadakan satu lagi mesyuarat dalam tempoh terdekat berhubung PRN Melaka.
“Belum ada keputusan. Kita akan bermesyuarat sekali lagi,” jelasnya.
Kemelut politik di Melaka dilihat masih berterusan susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas pada 4 Oktober lalu menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Berdasarkan Perlembagaan, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.
Pada 12 Oktober lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno dan BN akan bertanding secara solo pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk Pas.
Bercakap ketika diwawancara dalam program ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ menerusi dalam talian, Zahid berkata, Muafakat Nasional (MN) itu sendiri tidak pernah didaftarkan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga menyebut tentang pengkhianatan berulang kali terhadap Umno sewaktu mengulas berkenaan MN.
Walau bagaimanapun, Zahid tidak memperincikan maksud kenyataan itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 2018 lalu, Pakatan Harapan (PH) di Melaka memenangi 15 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen manakala BN mendapat 13 kerusi DUN dan hanya dua kerusi Parlimen.