Malaysia Dateline

PRN Melaka: “Umno kaya, sombong, angkuh, guna demokrasi untuk kepentingan diri”

Veteran Umno Datuk Zaharin Mohd Yasin mendedahkan Umno Melaka sebenarnya mempunyai masalah sejak dahulu lagi berhubung dengan Ketua Menteri dalam kalangan mereka.

Katanya, keadaan politik Melaka hari ini menyerlahkan lagi bahawa Umno itu sendiri bermasalah sehinggakan sanggup menjatuhkan kerajaan pimpinan mereka.

“Track rekod Ketua Menteri Melaka ini memang bermasalah dengan DUN, dari zaman Abu Zahar Isnin, Ghafar Baba, Abdul Rahim Thamby Chik.

“Pemimpin Umno Melaka ketua menterinya bertaraf setiausaha bahagian sahaja jadi mengambarkan sistem protokal di Melaka sangat unik,” kata beliau dalam Wacana Apa helah di sebalik Keluarga Malaysia yang disiarkan secara langsung melalui Studio Dahsyat malam ini.

Zaharin yang memahami asam garam di dalam Umno juga berkata sikap ego dalam kalangan pemimpin Umno terlalu tinggi sehingga meletakkan demokrasi untuk kepentingan mereka bukannya rakyat.

“Sedangkan kita kutuk Israel Yahudi tetapi adakah kita tengok demokrasi Israel macam mana?” soal beliau.

Zaharin turut membidas Umno yang cuba memperbodohkan rakyat apabila menafikan hak majoriti 15 ADUN termasuk empat ADUN yang menarik balik sokongan dengan bertindak membubarkan DUN.

“Ada 15 ADUN lebih majoriti berbanding ADUN yang sokong kerajaan sudah tentu ada pihak yang telah menumbangkan kerajaan.

“Yang Umno hendak bubar DUN tu kenapa?

“Jangan bodohkan rakyat, sepatutnya 15 ADUN itu sepatutnya dapat.

“Minta bubar DUN lepas tu kata nak darurat, mana boleh undang-undang darurat dah tutup kalau nak buat kena bawa ke Parlimen.

“Umno ni terlampau kaya, sombong dan angkuh tidak berdiri di bumi nyata. Mereka ada duit mereka boleh buat apa sahaja,” kata beliau yang mengakui masih sayang pada Umno.

Zahrin turut mengingatkan ahli Umno hari ini jangan terlalu taksub dengan parti atau pemimpin tanpa pencerahan dan kebenaran.

Turut bersama di dalam wacana ini, Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa meminta rakyat menilai sebaiknya apa yang dilakukan oleh Umno selama ini.

Katanya, Umno sanggup ‘mengamuk’ di Melaka demi kepentingan dan kedudukan mereka hingga menjejaskan rakyat negeri itu.

“Pengalaman politik Melaka daripada orang dalam Umno sendiri Zahrin Md yasin ternyata apabila kita tidak mampu mengawal parti sanggup mengamuk di Melaka hingga menjejaskan rakyat,” kata beliau.