PRN Pulau Pinang medan terbaik kerjasama Pas-Umno

PRN Pulau Pinang medan terbaik kerjasama Pas-Umno

Walaupun majlis Presiden Pakatan Harapan masih belum memberi kata putus berkenaan syor DAP untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang sekaligus melangsungkan pilihan raya negeri,namun kemungkinan bahawa ia akan berlaku adalah tinggi.

DAP yang mempunyai majoriti Adun berbanding semua parti yang ada pastinya tidak sukar untuk meyakinkan rakan komponennya yang lain.

Walaupun DAP mungkin ada alasan dalaman yang memaksa mereka membubarkan Dun namun hasil pilihan raya pastinya tidak sekadar menyesaikan masalah dalaman DAP.

Pulau Pinang tidak sebagaimana negeri lain,mempunyai komposisi kaum cina yang tinggi dan sokongan tanpa belah bahagi kaum cina kepada DAP dan Pakatan sejak 2008 tentunya menjadi asas keyakinan DAP untuk membubarkan Dun dan cuba meraih sebanyak mungkin undi dan kerusi yang mampu digunakan sebagai kayu ukur kekuatan Pakatan Harapan di negeri pantai barat yang turut mempunyai komposisi pengundi cina yang tinggi.

PRN Pulau Pinang pastinya bakal memberi tamparan hebat kepada UMNO dan Pas sekiranya Pakatan Harapan berjaya menambah lebih kerusi,apatah lagi perpecahan undi melayu kepada 3 bahagian,iaitu kepada Umno,Pas dan PKR/Amanah pastinya tidak menguntungkan musuh politik DAP apabila undi Cina bakal beralih kepada Amanah mahupun PKR walaupun di kawasan yang mempunyai komposisi melayu yang lebih besar.

Kekalahan secara total Pas yang sebelum ini menguasai satu (1) kerusi dan kehilangan beberapa kerusi UMNO yang memengani 10 kerusi pada PRU13 sudah boleh dihidu pada PRN kali ini, kedua parti tertua dan terbesar di Malaysia bakal dimalukan dengan begitu teruk di Pulau Pinang oleh satu Pakatan yang berusia kurang dari setahun dan sekiranya mood ini benar benar mampu direalisasikan,Pakatan Harapan boleh dikatakan mampu berdepan Pilihan Raya Umum ke 14.

Namun jika PRN kali ini mampu mengurangkan kerusi yang dimenangi Pakatan berbanding PRU13 yang lalu, malu besar pastinya akan menimpa DAP dan Pakatan Harapan, mereka akan dilihat sebagai si angkuh yang kecundang, bahkan mereka juga bakal goyah pada PRU ke14 apabila dilihat kalah dikubu sendiri disaat UMNO sendiri telah lemah dan berpecah.

Alternatif terbaik musuh DAP dan Pakatan ada untuk memalukan DAP adalah melalui kerjasama politik yang perlihatkan kedua parti melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas bersama sama bergandingan sekaligus menyasarkan setiap kerusi majoriti Melayu/kerusi marginal untuk dimenangi pasca PRN yang bakal berlangsung.

Umno yang masih menguasai 2/3 undi melayu di Pulau Pinang pada PRU13 pasti mampu perkukuhkan lagi sokongan jika kerjasama dengan Pas mampu direalisasikan,apatah lagi Pas dan UMNO sudah tiada sebab untuk berjuang secara berasingan apabila mereka berkongsi matlamat yang hampir serupa.

Pas yang kini dilihat telah mula memainkan isu Melayu manakala Umno yang kini dilihat menyokong perjuangan hudud Pas seharusnya duduk satu kerusi demi perkukuhkan sokongan Melayu kepada mereka,terutamanya Melayu ‘tegar’ di kedua dua parti mampu bergabung dalam satu kerjasama politik yang menarik untuk dilihat.

Pada awal Februari lepas,Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Zuhdi Marzuki dalam satu forum perpaduan bertajuk “Dilema Perpaduan Politik melayu di Malaysia” sempena muktamar Majlis Amal Islami Malaysia mendakwa Pas bersedia untuk mendengar cadangan dari pihak badan bukan kerajaan berhubung tindakan yang perlu diambil Pas dan Umno dalam berdepan kerusi marginal pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Menurut beliau lagi sebagaimana dilaporkan akhbar perlu ada strategi antara Pas dan Umno untuk menangani isu ini dan bagi mengelakkan kemenangan oleh DAP. Pas dan Umno tegasnya perlu melupakan perselisihan silam dan menyerahkannya kepada Allah dan berusaha menjayakan kerjasama demi kepentingan melayu dan islam.

PRN Pulau Pinang mampu dijadikan titik permulaan kepada cadangan tersebut seterusnya menjadi kayu ukur samada pada PRU akan datang kerjasama itu perlu diteruskan atau tidak.

PRN pastinya juga boleh digunakan sebagai kayu ukur kepada Pas untuk berdepan pru secara bersendirian atau menjalin kerjasama dengan parti besar lain pada PRU14 kelak.

Akhirnya,PRN pastinya menjadi rahmat besar kepada Pas sebelum berdepan PRU14 akan datang untuk menguji segala model kerjasama yang ada,jika PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar berbekal model bersendirian tidak membuahkan hasil yang baik,mungkin model kerjasama dengan UMNO boleh dieksperimenkan pada PRN kali ini.