PRN Pulau Pinang perlu untuk dapat mandat rakyat, kata Guan Eng

Cadangan pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang adalah untuk membolehkan rakyat memberikan mandat baru kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan negeri tanpa mengira nasib yang bakal menimpa ketua menteri, Lim Guan Eng yang bakal menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah.

PRN Pulau Pinang perlu untuk dapat mandat rakyat, kata Guan Eng

Cadangan pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang adalah untuk membolehkan rakyat memberikan mandat baru kepada kerajaan negeri Pakatan Harapan negeri tanpa mengira nasib yang bakal menimpa ketua menteri, Lim Guan Eng yang bakal menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pejabatnya hari ini, Guan Eng berkata, cadangan PRN itu bukanlah untuk menyelamatkan beliau daripada tuduhan rasuah tetapi untuk mengembalikan mandat kepada rakyat selaras dengan amalan demokrasi sihat.

“Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) dalam mesyuarat kami pada 18 Julai 2016 telah sebulat suara memutuskan bahawa sejak pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyalahgunaan kuasa yang amat teruk oleh BN telah menghakis demokrasi dalam negara.

“Justeru perbincangan sulit harus diadakan dengan rakan-rakan Pakatan Harapan tentang sama ada perlu atau tidak mengadakan pilihan raya di Pulau Pinang.

“Bagi mendapatkan mandat baru ini, kami telah bertemu dengan pimpinan PKR pada 18 Julai 2016 di Kuala Lumpur dan juga Presiden Amanah, Mohd Sabu pada malam 19 Julai 2016 di Lapangan Terbang Subang,” jelas Guan Eng.

Menurut beliau, DAP percaya bahawa sebarang keputusan untuk mengadakan PRN  perlu dibahaskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Bagaimanapun beliau kecewa apabila perbincangan sulit dengan pemimpin PKR telah dibocorkan kepada media yang diyakini untuk mensabotaj perbincangan tersebut.

Sehubungan itu, beliau telah menyampaikan rasa terkilan kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden PKR Nurul Izzah dan Pengarah Pilihanraya PKR Saifuddin Nasution dalam pertemuan di pejabatnya semalam.

Pertemuan semalam turut dihadiri Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Guan Eng menambah, walaupun pimpinan DAP dan Pakatan Harapan percaya dakwaan rasuah terhadapnya diada-adakan dan konspirasi jahat untuk membunuh karektor dan kerjaya politik beliau, namun pemimpin BN terus mempersoalkan kredibiliti, autoriti dan keabsahan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang beliau ketuai.

Sehubungan itu tambah beliau, PRN Pulau Pinang adalah penting bagi membolehkan kerajaan negeri Pakatan Harapan yang dibentuk boleh terus berkhidmat sebagai kerajaan rakyat walaupun beliau ditakdirkan ke penjara.

“Dengan kata lain, PRN ini ialah untuk membolehkan rakyat memutuskan jika mereka mahukan Kerajaan Negeri DAP-Pakatan Harapan di Pulau Pinang, dengan sepenuh kredibiliti, autoriti dan keabsahan, tidak kiralah apa pun terjadi kepada saya,” tegas beliau.

Guan Eng menambah, walaupun wujud cubaan sabotaj oleh sumber dalam Pakatan, perbincangan akan diteruskan dalam semangat Pakatan Harapan.

DAP dan Pakatan Harapan, ujar beliau tidak takut mempertaruhkan jawatan dalam kerajaan bagi mengembalikan mandat kepada rakyat selari dengan amalan demokrasi yang sihat.