Malaysia Dateline

PRN Sabah: 16,877 pengundi awal esok

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan seramai 16,877 pengundi akan mengundi awal pada esok di 55 Pusat Mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, pusat pengundian awal akan dibuka mulai jam 8 pagi.

Beliau berkata, jumlah pengundi awal itu terdiri daripada 7,487 anggota tentera dan pasangan serta 9,390 anggota polis.
“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan Pencegahan Covid-19 yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan.
“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang telah dilantik oleh SPR.

“Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu menurut Ikmalrudin, kesemua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis di mana kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada 26 September 2020 bermula jam 4 petang.

Pengiraan kertas undi pula akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan pengiraan undi akan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing