Malaysia Dateline

PRN Sabah: AMANAH cadang PH guna logo Warisan

Pakatan Harapan (PH) dicadangkan untuk menggunakan hanya satu logo iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Nasional, Khairuddin Daud berkata, seluruh parti yang menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk AMANAH, DAP, PKR, dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), wajar menggunakan satu logo yang sama.

“Penggunaan logo Warisan sebagai menunjukkan kesatuan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti itu dalam PRN Sabah.

“Meskipun diugut, ditekan, dan cuba dibeli pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) daripada Persekutuan, Adun Warisan tetap mempertahankan mandat rakyat Sabah sehingga DUN dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuatkuasa 30 Julai lalu.

Beliau yang juga Presiden Warisan berkata, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Pembubaran dibuat selepas bekas Ketua Menteri Negeri, Tan Sri Musa Aman, mendakwa sudah memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Musa berkata, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada 29 Julai.

Beliau mendakwa, gabungan baharu bagi membentuk kerajaan di negeri itu membabitkan beberapa parti, iaitu Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sementara itu, Khairuddin berkata, rakyat Sabah khususnya anak muda menolak pemimpin yang digelar ‘katak’ berikutan kekecewaan rakyat terhadap sikap ahli politik yang mementingkan periuk nasi sendiri.

“Justeru itu, Pemuda AMANAH Nasional mencadangkan PH serta UPKO menggunakan hanya satu logo, iaitu logo Warisan, sebagai tanda solidariti kita mempertahankan mandat rakyat pada PRU-14 dan menolak pemimpin-pemimpin politik yang tidak berprinsip,” katanya lagi.