Malaysia Dateline

PRN Sabah: AMANAH sepakat bertanding guna logo Warisan

Parti Amanah Negara (AMANAH) memutuskan akan menggunakan lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada 26 September ini.

Pengarah Komunikasinya Khalid Samad berkata, penggunaan lambang Warisan sebagai tanda sokongan terhadap kedudukan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Ia juga katanya bagi mengembalikan semula jawatan berkenaan susulan pembubaran Dun selepas bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

“AMANAH berdiri teguh bersama Datuk Seri Shafie dan Warisan dalam berjuang untuk mempertahankan kedaulatan rakyat Sabah yang dicabuli golongan pengkhianat ini.

“Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, AMANAH telah memutuskan bahawa calon-calon AMANAH akan menggunakan lambang Warisan semasa bertanding dalam PRN (Pilihan Raya Negeri).

“AMANAH bersetuju bahawa kedudukan Ketua Menteri perlu ditetapkan oleh rakyat Sabah, melalui sebuah parti Sabah itu sendiri dan bukan pihak Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada akhir Julai, cubaan pemimpin pro Perikatan Nasional yang diketuai Musa Aman untuk menggulingkan pentadbiran Shafie Apdal gagal apabila Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Shafie yang menghadap Tuan Yang Terutama (TYT) pada 30 Julai memaklumkan PRN akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

Bagaimanapun Musa Aman tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut kerana dakwanya pembubaran Dun tidak sepatutnya berlaku.

Dalam pada itu Khalid berkata, jika tidak kerana tindakan pantas dilakukan Shafie, maka golongan yang ditolak rakyat telah pun membentuk kerajaan Negeri Sabah seperti yang berlaku di peringkat Persekutuan .

“Oleh itu, walaupun PRN ini satu peluang baik untuk AMANAH memperkenalkan lambangnya, namun tanda solidariti dan kebersamaan diberikan keutamaan.

“Penggunaan lambang Warisan juga melambangkan penerimaan AMANAH terhadap MA63 yang telah lama dibelakangkan oleh BN sepanjang tempoh pemerintahan mereka,” katanya lagi.