Malaysia Dateline

PRN Sabah: Bekas Ketua Hakim sokong Warisan Plus

Selepas ura-ura yang mengaitkan Tan Sri Richard Malanjum akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, bekas Ketua Hakim Negara itu dilihat hadir pada majlis pelancaran jentera kempen calon Upko Ewon Benedick pada Sabtu lalu.

Lapor Borneo Post, Malanjum dalam ucapannya menyokong Warisan Plus dan meminta rakyat Sabah memilih calon gabungan itu pada pilihan raya 26 September ini.

“Dalam tempoh kempen ini, kita mesti ingat bahawa banyak pihak mendakwa mereka memperjuangkan hak-hak Sabah. Tetapi adakah mereka benar-benar ikhlas?

“Kita mahu parti-parti tempatan yang ikhlas dalam perjuangan mereka untuk mengembalikan hak-hak Sabah, bukan pihak-pihak yang mencalonkan diri untuk membuat ‘pintu belakang’ yang lain agar membolehkan Umno masuk sekali lagi ke Sabah untuk mengawal kami. Hati-hati dengan itu, ā€¯katanya seperti dipetik The Borneo Post.

Pada masa sama, Malanjum mengingatkan bahawa undi untuk Warisan Plus adalah penting bagi mengembalikan kekayaan negeri Sabah termasuk haknya atas minyak dan juga memberikan kembali tanah asal kepada penduduk asli setelah ia diabaikan selama beberapa dekad.

Malanjum, yang bersara tahun lalu setelah 28 tahun dalam bidang kehakiman, mula menjadi spekulasi apabila beberapa pihak mendakwa beliau akan bertanding di kerusi Bingkor atau Moyog atas tiket Warisan.

Namun, pembahagian kerusi menampilkan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darrell Leiking akan bertanding di kerusi Moyog, setelah rundingan agar Warisan bertanding di kerusi Inanam, yang awalnya disasarkan oleh Leiking, gagal.