Malaysia Dateline

PRN Sabah bermula hari ini, lebih 1.12 juta layak mengundi

Hari ini rakyat negeri Sabah akan menentukan siapa yang bakal mentadbir negeri mereka apabila lebih 1.12 juta pemilih berdaftar akan membuang undi bagi memilih wakil rakyat masing-masing bermula jam 8 pagi.

Pada jam 7.30 pagi sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Proses pengundian akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada 5 petang hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca pada sebelah pagi hujan di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, Kudat, pedalaman dan Sandakan manakala ribut petir di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan pada sebelah petang.

Dalam situasi Sabah terutamanya yang saban hari mencatat peningkatan kes positif COVID-19 seramai 1,594 petugas kesihatan turut ditempatkan di pusat mengundi di seluruh negeri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali pula meminta orang ramai agar keluar mengundi tanpa sebarang keraguan dan pihaknya memberi jaminan proses PRN Sabah akan berjalan lancar.

PRN tersebut diadakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.