Malaysia Dateline

PRN Sabah: BN, PN tertiarap di kaki Gunung Kinabalu, kata blogger Umno

Blogger Umno, Sang Kelembai berpendapat Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) lebih banyak mengalami masalah personaliti calon berbanding Warisan.

Tegasnya, BN dan PN sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah juga gagal mengetengahkan fakta tentang kelemahan pentadbiran Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sejak menjadi pemerintah Sabah.

Beliau atau nama sebenarnya, Datuk Zaharin Mohd Yasin berkata, BN dan PN mempunyai sokongan tetapi tiada kekuatan manakala Warisan tidak ada kekuatan tetapi memiliki sokongan.

Bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan melalui kiriman WhatsApp.

Terdahulu, Hassan bertanyakan, “Macam mana keseluruhan kekuatan Warisan di semua tempat sebelum buang undi ini?”

Zaharin kemudiannya berkongsikan jawapannya hari ini di media sosial dengan memaklumkan reaksinya itu hanya pandangan peribadi sebagai pengamat politik dan bukannya pendapat sebagai ahli Umno.

“BN dan PN tidak lebih dahulu memahami budaya dan geografi politik Sabah dan budayanya dalam berkempen.

“Shafie Afdal memahami keseluruhan apa rakyat Sabah mahu. Berbeza dengan cara kempen BN dan PN lebih banyak kepada memburukkan Warisan dan tidak membincangkan soal masa depan Sabah jika BN menang dan berkuasa semula,” katanya.

Beliau menyifatkan BN dan PN gagal untuk berhujah yang boleh diterima oleh pengundi akan serangan anti Persekutuan dalam kempen Warisan dan sekutunya.

Justeru, hujahnya, PRN kali ke-16 ini sebagai pertembungan dua generasi dengan angkatan muda mahukan politik cara Sarawak.

“Pasca dan pra Malaysia termasuk generasi baru di Sabah mahukan kerajaan mereka ditadbir cara politik Sarawak iaitu mandiri dan kebebasan.

“Apa dia politik Sarawak? Tidak ada parti politik dalam kerajaan mereka beribu pejabat di Kuala Lumpur.

“Semua parti politik beribu pejabat di Kuching. Mereka bergaduh, bertumbuk tetap mereka abang adik. Air dicincang tidak akan putus,” hujahnya.

Sehubungan itu, Zaharin merumuskan BN dan PN kalah teruk dalam PRN kali ini dengan menjadikan puncak gunung tertinggi di Malaysia sebagai perlambangannya.

“BN dan PN tertiarap di kaki Gunung Kinabalu, kerana tergelincir kakinya dalam mendaki,” tempelaknya lagi.

Untuk rekod, wujud pertembungan sesama sendiri sebanyak 11 kerusi antara BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Seramai 84 calon bakal bertanding mewakili BN, PN dan PBS untuk merebut 73 kerusi yang dipertandingkan pada 26 September ini.

Paling banyak bertanding ialah BN dengan 40 kerusi iaitu 31 kawasan ditandingi Umno manakala lima kerusi diikuti lima oleh Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan empat MCA.

Sebanyak 29 kerusi menjadi pertaruhan PN iaitu, masing-masing 19 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), diikuti lapan oleh Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan dua Parti Maju Sabah (SAPP).

PBS pula satu-satunya parti yang hanya menjadi penyokong PN bertanding di 15 kerusi dengan gabungan kerusi yang dimenangi kedua-dua pihak itu akan membentuk kerajaan baharu Sabah.

Pada 12 September lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan parti yang disertai BN, PN dan PBS akan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Walau bagaimanapun, kata Presiden Bersatu berkenaan, nama gabungan itu hanya digunakan secara rasmi selepas 26 September ini jika berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.