Malaysia Dateline

PRN Sabah: Calon disaran isytihar pendapatan

Kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mewajibkan bakal calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Sabah mengisytiharkan harta dan sumber pendapatan sebelum atau semasa mengemukakan borang pencalonan.

Pengerusi Tetap Majlis Belia Sabah (MBS), Mazlan Joehari Manan (gambar) memberitahu, perkara berkenaan adalah penting bagi memastikan harta seseorang calon itu setara atau sepadan dengan sumber pendapatannya dan dapat menghindarkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah di masa hadapan.

Malah, katanya, ahli-ahli politik dan calon-calon pilihan raya akan dapat memperlihatkan komitmen yang membina ke arah mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan berintegriti seperti diharapkan oleh rakyat dan pengundi di kawasan masing-masing.

“Cabaran utama parti dan ahli politik adalah berkaitan persoalan integriti dan dengan langkah ini akan dapat membantu rakyat membuat tapisan kepada calon-calon pilihan raya.

“Justeru, berdasarkan kajian yang dibuat menunjukkan para pengundi lebih mengharapkan calon yang mempunyai integriti tinggi, jujur, amanah dan bertanggungjawab,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

Mazlan menambah, sekiranya semua parti yang bertanding dapat memperlihatkan kebertanggungjawaban dan integriti calon masing-masing, maka dapatlah rakyat mengharapkan agar gelanggang politik dan pilihan raya ini dilaksanakan secara sihat dan mencapai matlamatnya untuk memilih wakil rakyat serta menentukan kerajaan nanti.