Malaysia Dateline

PRN Sabah: Dapat separuh jumlah kerusi, PKR tinggalkan dewan

Sekumpulan anggota PKR meninggalkan dewan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu selepas berbincang dengan ketua PKR negeri Christina Liew.

Liew enggan memberikan sebarang komen kepada pemberita dan berkata bahawa dia ingin ke tandas.

Walau bagaimanapun, dia dan perwakilan PKR lain tidak muncul kembali ke dalam dewan itu sewaktu calon pilihan raya yang diumumkan.

Tindakan mereka dipercayai ada kaitan dengan hanya tujuh kerusi yang diberi kepada parti itu berbanding 14 yang diumumkan PKR Sabah semalam.

Ketika Presiden Warisan Shafie Apdal mengumumkan calon gabungan parti Warisan, Pakatan Harapan (PH), dan Upko hari ini, PKR hanya diberi tujuh kerusi untuk bertanding.

Jumlah kerusi yang ditandingiPKR kali ini hanya kurang satu kerusi daripada yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu.

Hanya dua kerusi iaitu Klias dan Sook yang diberikan kepada PKR manakala lima lagi – Api-Api, Inanam, Tempasuk, Tamparuli dan Matunggong memang kerusi ditandingi oleh PKR pada PRU14.

Semalam, PKR Sabah menjangkakan Warisan akan turut menyerahkan kerusi Kemabong, Membakut, dan Petagas kepada mereka.

Namun, Warisan menyerahkan kerusi Kemabong kepada Upko dan kekal untuk bertanding di Membakut dan Petagas.

Empat daripada 13 kerusi baru yang diperkenalkan juga dituntut oleh PKR iaitu Segama, Limbahau, Sungai Manila, dan Pintasan tetapi Warisan membolot semua kerusi itu.