Malaysia Dateline

PRN Sabah: Dapat tiket percuma balik mengundi

Tiket percuma akan diberikan kepada rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia balik pada hari pengundian pada 26 September ini.

Menurut Pengerusi BorneoCare, Spencer Klumai, pihaknya mendapat sumbangan dana bagi membantu menampung tambang kapal terbang bagi warga Sabah yang hendak balik hari mengundi nanti.

“Oleh kerana mengundi adalah tanggungjawab setiap penduduk dan pengundi berdaftar, kita memberikan peluang kepada rakyat negeri ini termasuk pelajar serta mereka yang bekerja di semenanjung untuk balik mengundi pada 26 September ini.

“Setiap permohonan yang akan diluluskan perlulah mempunyai maklumat termasuk nama, nombor kad pengenalan, jadual penerbangan pergi dan balik yang dipilih, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengundi, alamat email pemohon dan nombor telefon.

“Mereka juga perlu menghantar gambar bukti pengesahan daftar pengundi dari laman Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melalui aplikasi Whatapps kepada setiap agen terpilih,” jelas beliau.

Katanya lagi, antara wakil agen yang boleh dihubungi termasuklah Alice di talian 012-2929839, Maria: 011 26135788, Gwen Ng: 012 200 6243, Joel Jalleh: 016 2212 088 dan Edmund: 011-1208 1030.

Bagaimanapun tegas Spencer, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada pengundi yang tinggal luar negara.