Malaysia Dateline

PRN Sabah: Dua hari sebelum buang undi, Shafie sebak mohon maaf

Amanat Khas Datuk Seri Shafie Apdal berlangsung agak sebak dengan penuh sokongan rakyat yang menghujani kata-kata positif dan semangat untuk Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu.

Sebelum berakhir detik-detik berkempen, Shafie memohon maaf kepada rakyat Sabah ekoran kemelut yang berlaku di negeri itu sehingga terpaksa berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh negara diancam Covid-19.

Mengambil sikap tanggungjawab, Ketua Menteri Sabah itu berkata, apa yang berlaku adalah di luar kemahuannya apabila ada beberapa pihak terlebih awal telah mengatur langkah untuk menguasai tampuk pemerintahan Negeri di Bawah Bayu itu.

Akuinya, tiada cara lain selain membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi semula mandat kepada rakyat.

“Saya memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat kerana berhadapan dengan pilihan raya yang memungkinkan kita dijangkiti dengan wabak Covid-19.

“Ini berlaku akibat pergolakan politik yang membabitkan perebutan kuasa di bumi Sabah sehingga mereka ingin merampas tampuk pemerintahan.

“Dalam suasana sedemikian kita terpaksa membubarkan DUN untuk menegakkan sistem demokrasi. Rakyat dan pengundi harus menentukan siapa akan jadi kerajaan, siapa jadi wakil rakyat.

“Bukannya ditentukan pihak yang inginkan kuasa, tetapi kita serahkan kembali pada rakyat,” katanya menerusi Amanat Khas yang disiarkan secara langsung di Facebook rasminya malam ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat Sabah bahawa pentingnya pilihan raya kali ini demi memastikan mereka mempunyai kerajaan dari wakil yang bukan hanya bermaruah, malah bermartabat untuk berkhidmat demi rakyat.

Shafie turut mengingatkan kepada semua calon, dalam keadaan mereka mahu menambat sokongan, kesihatan pengundi masih perlu dijaga agar tiada siapa yang akan dijangkiti Covid-19.

“Tunaikan tanggungjawab. Turunlah mengundi beramai-ramai pada 26 September ini agar dapat membentuk kerajaan yang stabil untuk masa depan rakyat tidak kira bangsa, agama dan dari mana mereka hadir,” luahnya lagi.