Malaysia Dateline

PRN Sabah: Kes Covid-19 terus melonjak tapi Kabinet PN hanya bincang lusa

Berbaki lagi enam hari untuk pemilih Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membuang undi, kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih belum membincangkan isu keselamatan dan kesihatan yang sewajarnya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media selepas Ziarah Kasih di kawasan Sekong di Sandakan, hari ini memberitahu Jawatankuasa Kabinet akan membincangkan hal tersebut Selasa ini.

Naib Presiden Umno itu berkata, isu tersebut akan diketengahkan pada mesyuarat mingguan Covid-19 ketika kes positif wabak itu di Malaysia sudah mencecah sebanyak 10,219 kes hari ini.

Ismail Sabri berkata, susulan peningkatan kes penularan di Sabah menjelang PRN, isu keselamatan dan kesihatan itu dibincangkan dengan pihak kesihatan dan polis.

“Selasa ini kita bincang salah satunya mungkin dari segi keselamatan di Sabah berkaitan Covid-19,” ujarnya.

Mengulas berkaitan laporan seorang Majlis Tertinggi (MT) Umno positif Covid-19 ketika berkempen di Sipitang, beliau berkata belum menerima laporan rasmi.

Namun katanya, jika didapati positif individu tersebut perlu dikuarantin di Sabah sehingga pulih sepenuhnya.

“Saya pun belum dapat laporan lagi tentang ada MT yang positif. Kalau positif maka MT perlu dirawat di Sabah ni sehingga beliau benar-benar negatif untuk pulang ke Semenanjung.

“Jadi, kepada yang lain, sebab itu saya sentiasa pesan patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan,” ujarnya lagi.