Malaysia Dateline

PRN Sabah: Pas arah jentera bertugas seolah-olah sama bertanding

Pengarah Pilihan Raya Pas, Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya akur dengan keputusan parti yang tidak meletak calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tetapi bersedia membantu rakan parti yang bertanding.

“Kita akan bantu (calon Perikatan Nasional), saya yang menguruskan jentera pilihan raya dan kita sudah mengarahkan jentera bertugas seperti biasa seolah-olah Pas bertanding.

“Sudah ada jentera dihantar sebelum penamaan calon dan kita akan hantar kumpulan kedua jentera dalam tempoh masa terdekat ini,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Sehubungan itu, Pas berharap parti rakan dalam PN tidak melupakan sumbangan parti itu yang tetap menggerakkan jentera pilihan raya untuk membantu dalam PRN Sabah walaupun tidak bertanding.

“Semangat setia kawan Pas sangat tinggi, jentera kita rajin berkerja dan kita tidak pernah berkira.

“Kita sedaya upaya akan membantu memenangkan calon PN pada PRN Sabah,” katanya yang juga Menteri Besar Kedah.

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan partinya memberi laluan kepada rakan dalam PN bertanding pada PRN Sabah bagi mengelak pertembungan demi kemenangan besar gabungan berkenaan.

Menurutnya, Pas juga menghormati sikap rakan di Sabah yang berhasrat bertanding di keseluruhan 73 kerusi selepas usaha rundingan dimuktamadkan.