Malaysia Dateline

PRN Sabah: Pengundi patut abai orang politik yang dituduh di mahkamah

Ungkapan berbunyi seseorang itu tidak bersalah selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman tidak boleh diguna untuk semua keadaan.

Tanpa mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah atau sebaliknya seseorang yang sedang diperiksa di mahkamah itu bertarung dengan kemungkinan itu, dia seorang baik atau seorang tidak baik.

Dari segi prinsip perundangan memang begitu, tetapi dari segi moral dan tanggungjawab mungkin ia salah. Apabila seseorang itu sedang dibicara di mahkamah bermakna dia sudah mempunyai prima facie, ada asas kesalahan.

Sebelum seseorang itu dibicarakan, mahkamah terlebih dahulu membuat semakan apakah tuduhan itu berasas atau ada prima facie atau tidak.

Kalau asasnya tidak kuat, mahkamah akan ketepikan pertuduhan terhadapnya. Apabila dibicarakan, asas jahatnya kukuh. Dalam mahkamah, orang jahat bisa bebas kerana berlaku kesalahan teknik, bukannya kerana ia tidak jahat.

Apabila ia sudah dibicarakan bermakna ia ada asas bersalah. Sebagai orang yang ada asas melakukan dosa, elok kalau ia diketepikan daripada bergaul apa lagi mengambil bahagian bebas seperti orang yang tidak dihadapkan ke mahkamah.

Dianggap bersih

Keadaan orang dituduh itu berbeza dengan orang yang sudah menjalani hukuman kerana orang yang sudah menjalani hukuman ia dianggap bersih dari konteks perundangan.

Saya lihat dalam kempen politik di Sabah masih ada orang yang sedang dalam proses semakan di mahkamah mengambil bahagian. Mereka bukan sahaja berkempen, tetapi ada yang menjadi calon pilihan raya.

Mereka adalah Najib Razak, Zahid Hamidi dan Bung Moktar Radin bahkan menjadi calon dan diuar-uarkan untuk jadi Ketua Menteri.

Barang kali berdasarkan prinsip tadi, elok kalau SPR melarang orang-orang yang sedang dituduh di mahkamah ikut mengambil bahagian khasnya sebagai calon.

Dan elok juga kalau pengundi dan orang ramai menafikan sahaja apa-apa yang keluar dari mulut persalah itu.