Malaysia Dateline

PRN Sabah: Sejarah lompat-melompat mungkin berulang?

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini terpaksa diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan tragedi melompat parti dan percubaan menggulingkan kerajaan negeri diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan).

Melihat situasi yang tidak stabil dan urutan sejarah yang sering berulang, Ketua Menteri Shafie Apdal menganggap episod membeli wakil rakyat Sabah diibaratkan seperti ‘kraftangan’ apabila mudah ‘dijual beli.’ Namun, ia bukanlah fenomena baru dalam percaturan politik di Sabah.

PRN diadakan bagi memilih kerajaan baharu. Justeru, adakah sebuah lagi parti atau grand coalition baharu akan terbentuk mendominasi dan memerintah Sabah?

Apakah pengundi Sabah sekali lagi akan memilih parti baharu? Berbanding struktur politik di Semenanjung, Sabah tidak asing menukar pakatan parti pemerintah yang menggambarkan seakan-akan menjadi lumrah sejak menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963.

Sejarah dominasi parti politik yang pernah menerajui Sabah boleh dibahagikan kepada lima fasa penting.

Fasa pertama ialah era gabungan USNO-SCA dari tahun 1967-1976. Kemudiannya diikuti pada 1976-1985 adalah era Parti BERJAYA. Tidak sampai 10 tahun, PBS pula merampas kedudukan pentadbiran dari BERJAYA dari 1985-1994.

Manakala fasa keempat yang disifatkan era penguasaan penuh UMNO-BN sehinggalah PRU-14 pada 2018 yang mencatatkan tempoh sejarah paling panjang selama 24 tahun. Era parti lokal dan tempatan yang lahir di Sabah sebelum ini hayatnya tidak melebihi 10 tahun.

Signifikannya ialah parti atau gabungan baharu ditubuhkan atau bertapak tidak mengambil masa yang lama untuk menggulingkan parti pemerintah:

– Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) pimpinan Fuad Stephen dan Harris Salleh yang diasaskan pada 15 Julai 1975 mampu mengalahkan USNO pada PRN pada 1976.

– Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Joseph Pairin Kitingan ditubuhkkan 1985 yang baharu sahaja berusia 40 hari dapat menumbangkan BERJAYA pada PRN 1985 dan 1986.

– UMNO yang melebarkan sayap pengaruh ke Sabah pada 21 Februari 1991 telah berjaya mengambil alih daripada PBS pada 1994. Meskipun PBS menang majoriti tipis dengan 25 daripada 48 kerusi dipertandingkan, keadaan ini dimanfaatkan sepenuhnya Perdana Menteri Mahathir Mohammad dan Timbalannya Anwar Ibrahim ‘memecahkan’ ADUN PBS untuk melompat parti menyertai UMNO.

PBS yang menang awalnya hanya bertahan dua minggu sebagai kerajaan, sebelum terpaksa menyerahkan kuasa kepada UMNO/BN.

Selepas 24 tahun legasi UMNO/BN disifatkan sebagai kuasa hegemoni – misalnya PRU 2004 UMNO/BN hampir memenangi semua kerusi DUN iaitu 59 kerusi daripada 60 yang dipertandingkan; begitu juga Musa Aman menjawat jawatan Ketua Menteri paling lama dalam sejarah politik Sabah dari 2003-2018 yang mewakili UMNO.

– Kelahiran Parti Warisan pada 17 Oktober 2016 yang tidak sampai dua tahun telah berjaya mengambil alih kerajaan negeri pada PRU 2018. Perhatian diberikan berikutan keupayaan Shafie Apdal menggugat hegemoni UMNO di Sabah dan mengulangi episod sejarah pertukaran parti memerintah seperti yang pernah terjadi pada Parti Berjaya 1976, Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1985 dan UMNO pada 1994.

Shafie dan Warisan Plus telah memecahkan ‘mitos’ bahawa UMNO sebagai parti yang mendominasi Malaysia tidak dapat ditumbangkan. Pertukaran rejim di Malaysia buat pertama kalinya dalam sejarah turut menyaksikan kesan limpah kepada Sabah apabila blok BN tidak lagi memerintah.

Sebenarnya, tragedi yang sama berulang dilihat mengimbas semula peristiwa PBS tumbang. Tetapi episod kali ini lebih dramatik apabila ADUN BN daripada komponen Parti UPKO pula yang melompat ke Warisan. Pada 1994, ADUN PBS yang berpindah ke kem UMNO/BN, sebaliknya kali ini ADUN BN bertukar arah ke Warisan dan Pakatan Harapan (PH).

Najib Razak turun padang di Sabah menyertai jentera kempen BN.

Faktor populariti

Selepas melewati tempoh dua tahun Warisan Plus mentadbir, sekali lagi PRN mengejut diadakan. Persoalannya, adakah PRN yang ‘dipaksakan’ ini bakal menyaksikan sejarah akan berulang lagi?

Kemasukan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah pada 2019 yang kini baharu berusia setahun lebih dengan bertanding atas jenama Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dipandang enteng.

Selain faktor populariti Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang dikatakan melonjak naik ketika ini akan memberi sedikit kelebihan.

Hajiji Mohd Nor selaku Ketua BERSATU Sabah telah diumumkan Perdana Menteri sebagai calon yang bakal mengisi jawatan Ketua Menteri bagi PN jika dapat menakluki Sabah.

Tidak mustahil PN diketuai BERSATU serta gabungannya iaitu Parti Solidariti Tanah Air (STAR) yang dipimpin tokoh senior dalam arena politik Sabah iaitu Jeffrey Kitingan, Parti Progresif Sabah (SAPP) yang diketuai bekas Ketua Menteri Yong Teck Lee dan PBS yang masih dibayangi dengan pengaruh Pairin Kitingan akan memenangi PRN bagi mengisi satu lagi ‘slot baru sejarah’ selepas Parti Warisan.

Namun begitu, PN berdepan cabaran getir apabila bertembung sesama sendiri di 17 kerusi dalam gabungannya bersama BN dan PBS.

Dalam erti kata lain, BN, PN dan PBS yang membentuk kerjasama yang dinamakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berlawan sesama sendiri. Dalam konteks sejarah PRN Sabah, pertandingan banyak penjuru adalah suatu yang normal.

Cuma dalam konteks ini, Warisan Plus memiliki sedikit kelebihan kerana gabungan mereka tidak bertembung kali ini.

Dalam pada itu, UMNO/BN masuk ke gelanggang PRN kali ini menampilkan Bung Mokhtar Radin (prospek calon Ketua Menteri) sebagai pemimpin setia pada saat UMNO/BN menghadapi tekanan dan krisis untuk mengepalai jentera BN; selain mengambil kira track record memenangi tujuh pilihan raya kecil sebelum ini bahawa BN yakin untuk membuat comeback.

Bagaimanapun, sejarah politik Sabah menunjukkan tidak ada parti atau gabungan yang telah kalah sebelum ini mampu kembali mendominasi dan menjadi Ketua Menteri semula.

Sementara Parti Cinta Sabah (PCS) yang pertama kali bertanding di semua 73 kerusi sebagai lawan underdog mampu membuat kejutan seperti sejarah PBS mengalahkan BERJAYA 1985 dan BERJAYA mengalahkan USNO pada 1976.

Kedudukan tinggi Anifah Aman dalam politik Sabah boleh memberi saingan yang sengit kepada PN dan BN.

Atau tidak ada mana-mana gabungan parti akan berjaya mendapat majoriti yang akhirnya drama lompat-melompat sekali lagi mewarnai politik Sabah?

Segalanya di tangan rakyat Sabah untuk melakukan satu lagi kejutan atau terus mengekalkan status quo. Dalam politik apa sahaja sejarah baharu boleh tercipta, lebih-lebih lagi selepas PRU 2018.

 

* AZIZI JAEH & NORHAYATI ISMAIL merupakan calon ijazah doktor falsafah (PhD) di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Shafie Apdal mengulangi episod sejarah pertukaran parti memerintah di Sabah.