Malaysia Dateline

PRN Sabah: Warisan dijangka letak ramai calon muda

Parti Warisan Sabah (WARISAN) dijangka akan meletakkan ramai calon baharu di kalangan anak muda bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada kali ini.

Menurut Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, walaupun jumlah sebenar belum dapat dinyatakan sekarang, namun lebih 50 peratus calon yang bertanding adalah orang muda.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, kira-kira 50 peratus calon yang ditampilkan merupakan orang muda.

“Saya menjangkakan WARISAN akan menampilkan ramai calon baharu dan muda yang diberi peluang bertanding nanti” jelas beiau.

Shafie menambah, jumlah calon muda dan lama perlu diadunkan sebaiknya dalam menghadapi PRN kali ini.

Tegas beliau lagi, sekiranya terdapat calon orang muda, sudah semestinya calon dalam kalangan orang lama sepertinya juga perlu ada.

Beliau bakal mengumumkan senarai calon WARISAN yang akan bertanding dalam PRN kali ini pada 10 September ini.

Bagaimanapun tambahnya lagi, pengumuman berkenaan tidak melibatkan calon rakan kerjasama WARISAN seperti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Keadlilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan Parti Amanah Negara (AMANAH).