Malaysia Dateline

PRN Sabah: Warisan nafi taja calon Bebas

Parti Warisan Sabah (WARISAN) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan telah menaja mana-mana calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah kali ini.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua, WARISAN telah mengambil tindakan untuk membatalkan keahlian kepada sesiapa ahli-ahlinya yang didapati bertanding sebagai calon Bebas.

“Justeru, saya menegaskan kepada mana-mana calon agar berhenti mengaitkan WARISAN dengan tindakan mereka berikutan timbul ketidakpuasan hati dengan keputusan yang dibuat oleh parti dalam pemilihan calon.

“Dan kita akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya nama WARISAN dikaitkan dalam mana-mana kempen yang kononnya mereka ini ditaja oleh WARISAN untuk bertanding sebagai calon Bebas,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Loretto menambah, WARISAN tidak akan merestui calon Bebas untuk mengalahkan calon WARISAN yang dipilih sendiri oleh parti pada PRN Sabah ini.

“Maka, dengan ini saya memohon agar pengundi di Sabah harus berwaspada dengan tindakan atau taktik kotor seperti itu,” tegasnya lagi.