Malaysia Dateline

PRN SARAWAK 12: GPS tampil 20 muka baharu, tutup ruang Pas, Bersatu

Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menampilkan sekurang-kurangnya 20 calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN)Sarawak Ke-12 dalam masa terdekat ini.

Memetik laporan Bernama, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, calon muka baharu itu terdiri daripada golongan belia dan di kalangan yang berpengalaman.

Beliau berkata, senarai akhir calon akan diumum oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Saya sendiri berada di dalam parti dan saya tahu kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang akan menyaksikan perubahan.

“Sekurang-kurangnya calon muka baharu itu tidak kurang daripada 20 orang,” katanya.

Pada 24 Oktober lepas, Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, GPS akan bertanding di semua 82 kawasan PRN Sarawak.

GPS terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Dengan GPS yang bakal meletakkan calon di semua 82 kerusi DUN ia sekali gus tidak memberi ruang kepada Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dan Bersatu untuk menurunkan calon-calon mereka pada PRN12 nanti.

Justeru, adalah dijangka Pas dan Bersatu akan bertembung dengan GPS di sesetengah kawasan DUN seperti yang berlaku pada PRN Melaka ketika ini.