Malaysia Dateline

PRN Sarawak: AMANAH tetap bersedia tetapi terkilan pengundi 18 tidak dapat memilih

Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak tetap bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Menurut Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Halil Abang Naili, walaupun PRN12 kali ini terpaksa berhadapan dengan norma baharu serta standard operasi prosedur (SOP) kempen yang ketat, namun pihaknya tetap melakukan yang terbaik bagi memberi cabaran di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi nanti.

Katanya, dengan kes Covid-19 yang belum reda di negeri ini, pilihan raya seharusnya dielakkan terlebih dahulu sehingga tamat tempoh Proklamasi Darurat yang berakhir pada 2 Februari 2022.

“Pada pendapat saya adalah lebih baik jika PRN12 diadakan tahun depan selepas Proklamasi Darurat ditamatkan lebih-lebih lagi dengan kes COVID-19 yang belum lagi reda di Sarawak.

“Malah, kalau diadakan tahun depan ia akan turut memberi peluang kepada pengundi muda (Undi18) sebagai pemilih,” tegas beliau.

Sebelum itu, SPR telah pun mengumumkan PRN12 Sarawak akan berlangsung pada 18 Disember depan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya telah pun menerima notis pengisytiharan kekosongan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Speaker DUN bertarikh 3 November 2021.

Justeru, katanya SPR telah mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh PRN12 diadakan bagi mengisi kekosongan 82 DUN di negeri ini.

“Maka dengan ini kita menetapkan tarikh PRN12 Sarawak akan diadakan pada 18 Disember 2021 manakala Hari Penamaan Calon dilangsungkan pada 6 Disember 2021.

“Bagi Hari Pengundian Awal pula, SPR menetapkan diadakan pada 14 Disember 2021,” jelas beliau dalam satu sidang media di Kuching hari ini.

Sementara itu, Setiausaha AMANAH Sarawak Fadillah Sabali berkata, setakat ini pihaknya belum lagi memutuskan penggunaan logo pada PRN12 nanti.

“Penggunaan logo hanya akan diputuskan oleh konsensus Pakatan Harapan (PH) Sarawak,” ujarnya ketika ditanya persiapan AMANAH kali ini.

Bagaimanapun, beliau tetap mengakui PRN12 nanti akan melibatkan banyak penjuru dalam setiap DUN yang bertanding.

“Bagi AMANAH, kita akan tetap berusaha meyakinkan pengundi untuk memilih calon-calon kita yang mempunyai kelayakan dan kemampuan dalam memimpin masa depan rakyat di DUN yang mereka tandingi kelak.

Pada PRN12 kali ini, AMANAH bakal bertanding di sembilan kerusi DUN iaitu Demak Laut, Samariang, Muara Tuang, Gedong, Sebuyau, Kabong, Kuala Rajang, Semop dan Jemoreng.