Malaysia Dateline

PRN Sarawak bakal menyaksikan perebutan kuasa Pas lawan GPS

Keputusan Pas untuk meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak dilihat sebagai mahu ‘kuasa’ semata-mata berbanding memberi khidmat kepada rakyat di negeri ini.

Setiausaha Agung AMANAH Nasional Datuk Wira Dr Mohd Hatta Ramli berkata, tindakan Pas bertanding lebih-lebih lagi melawan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sesuatu yang mengelirukan.

Ini kerana, katanya antara Pas dan GPS itu adalah dua parti yang kini bersama-sama berada dalam Kerajaan Pusat selepas insiden Langkah Shereton yang menunbangkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pilihan rakyat pada Februari 2020.

“Saya tak tahu bagaimana Pas dan GPS boleh bertembung sesama sendiri pada PRN12 kali ini.

“Jika itu yang berlaku, maka rakyat Sarawak boleh menilai sendiri kreabiliti kedua-dua parti berkenaan,” ujar beliau semasa ditemui selepas mengadakan lawatan di Kuching hari ini.

Tegas Dr Mohd Hatta lagi akibat kemaruk kuasa Pas dilihat sanggup melawan rakan sekutu iaitu GPS walaupun bersama-sama di peringkat Kerajaan Pusat.

“Saya sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak mentafsirkan pendirian Pas… sekejap lain dan sekejap lagi lain.

“Jadi, saya berharap rakyat dapat menilai bagainana Pas dan GPS saling berlawan demi hendak perebutan kuasa masing-masing, ” ujarnya.

Sebelum itu, Pas telah memutuskan untuk bertanding pada PRN12 Sarawak menggunakan logo sendiri.

Memetik laporan Harakahdaily,Timbalan Presiden Pas, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata jumlah kerusi yang dipertandingkan masih belum diputuskan.

“Pas telah memutuskan untuk bertanding di PRN Sarawak, namun dengan jumlah kerusi yang munasabah dan sesuai,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengenai persiapan parti itu menghadapi PRN 12 Sarawak pada 18 Disember ini.

Katanya, persiapan PRN12 Sarawak hanya melibatkan beberapa tenaga penting sahaja yang akan membantu jentera parti itu melaksanakan kempen sebelum hari mengundi nanti.