PRN Sarawak bukan tandingan PAS-Amanah, kata penganalisis politik

Parti berunsur Islamik agak sukar untuk bertapak di Sarawak kerana ideologi yang dibawa dilihat tidak serasi dengan pemahaman dan gaya hidup masyarakat di negeri itu, menurut penganalisis politik.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Parti berunsur Islamik agak sukar untuk bertapak di Sarawak kerana ideologi yang dibawa dilihat tidak serasi dengan pemahaman dan gaya hidup masyarakat di negeri itu, menurut penganalisis politik.

Mereka berpendapat usaha Pas ataupun parti serpihan Pas, Amanah untuk memperlihatkan kekuatan masing-masing dalam meraih undi terutama dalam kalangan umat Islam agak sukar jika mereka menggunakan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan pada tahun depan.

Pensyarah kanan pengajian komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Dr Jeniri Amir berkata, imej dan reputasi Pas yang dilihat bersifat ekstrem bagi penduduk Sarawak akan menjadi halangan utama parti itu memenangi kerusi pada PRN Sarawak.

Beliau berkata ini adalah kerana imej parti Islam itu tidak serasi dengan komposisi dan demografi masyarakat pelbagai etnik di Sarawak, kerana hanya kira-kira 28 peratus sahaja penduduk di negeri itu beragama Islam.

“Jangan harap pengundi Islam juga cenderung memilih Pas,” katanya.

Manakala Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Abdul Halim Sidek menegaskan Pas dan Amanah tidak akan mampu memperoleh kemenangan dalam PRN Sarawak.

Sambil menyifatkan usaha mereka mungkin akan menjadi sia-sia, beliau berkata pilihan raya negeri itu tidak sesuai menjadi platform percubaan bagi Amanah terutamanya untuk mencuba nasib memenangi kerusi pertama parti itu.

Beliau berpendapat adalah lebih baik Amanah menguji kemampuan parti itu pada pilihan raya kecil daripada PRN kerana PRN penting dalam membentuk kerajaan negeri.

Abdul Halim berkata kemampuan Pakatan Harapan juga dilihat kurang menyerlah pada PRN Sarawak akan datang kerana rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap perjuangan yang dibawa oleh gabungan itu.

“Pakatan Harapan hanya akan tinggal harapan sahaja pada pilihan raya negeri Sarawak nanti,” katanya.

Pas Sarawak baru-baru ini mengumumkan mahu bertanding sekurang-kurangnya di 11 kawasan Dun pada PRN Sarawak akan datang.

Antara kerusi yang bakal ditandingi Pas ialah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Pantai Damai, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa dan Dudong.

Sementara Pakatan Harapan yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah pula dikatakan akan hanya berbincang mengenai kerusi yang akan ditandingi di PRN Sarawak pada bulan depan.

Pada pilihan raya negeri ke-10 pada Mac 2011, Pas kalah di kesemua lima kerusi Dun yang ditandinginya.

Dalam pada itu, Jeniri berkata pendirian teguh Pas untuk bertanding menunjukkan keyakinan mereka tinggi walaupun ruang untuk menang hanya di kawasan majoriti masyarakat Melayu Melanau yang dikuasai BN melalui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menyentuh mengenai BN, beliau berkata, walaupun populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem tinggi dari segi kajian beliau iaitu sekitar 84 peratus, ia sukar diterjemahkan atas kertas undi disebabkan masalah dalaman antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Jeniri berkata masalah dalaman antara parti-parti komponen BN ini perlu diselesai dalam tempoh terdekat.

BN Sarawak kini dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

TAGS